Thong Guan Industries dijangka tidak begitu terkesan dengan risiko kemelesetan ekonomi 2023, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Thong Guan Industries dijangka tidak begitu terkesan dengan risiko kemelesetan ekonomi 2023, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan Thong Guan Industries Berhad tidak akan begitu terkesan dengan risiko kemelesetan ekonomi pada 2023 seperti perniagaan lain.

 

Firma itu berkata, pendapatan disatukan kumpulan itu masih akan berkembang dengan baik pada FY23.

 

Katanya, segmen produk pembungkus makanan polivinil klorida (PVC) dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada FY23 memandangkan pembukaan semula ekonomi global.

 

"Selepas China membatalkan dasar sifar COVID-19, secara tidak langsung memberi ruang kepada sektor hotel, restoran dan kafe (HORECA) negara itu kembali beroperasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berharap segmen beg e-dagangnya akan pulih pada FY23 selepas mencatatkan kerugian pada 9MFY22 sejak ia mula dilancarkan pada FY19.

 

Katanya, kerugian itu berpunca daripadasifar pesanan dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini kerana gergasi e-dagang Amerika Syarikat telah terlebih beli beg pada FY21.

 

"Segmen itu bagaimanapun kembali mencatatkan untung selepas tempahan beg kembali pada Oktober dan November 2022," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang berusaha untuk mengembangkan bahagian makanan dan minuman di Thailand pada masa akan datang selepas pendapatan sebelum cukai bagi segmen itu bagi 9MFY22 melonjak sebanyak 54.3% selepas mencatatkan perkembangan positif di Sabah.

 

"Harga biji kopi menjadi stabil pada 2022, membolehkan margin keuntungan produk minuman kopinya berkembang kerana kumpulan itu sudah mula menaikkan harga pada 2021," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM4.54 sesaham. - DagangNews.com