Tiada PKP, hanya PKPD di kawasan tertentu | DagangNews Skip to main content

Tiada PKP, hanya PKPD di kawasan tertentu

Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan semula dalam tempoh terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebimbangan kepada perkara tersebut tidak seharusnya timbul memandangkan kerajaan masih mampu menutup kawasan yang terlibat.

"Khabar angin yang mengatakan apabila kes mencecah 100, kita akan tutup seperti PKP dahulu. Jangan bimbang, kita tidak akan laksanakan PKP setakat kita masih mampu tutup lokaliti-lokaliti tertentu.

"Kita hanya kawal pergerakan rentas melalui PKPD (Perintah Kawalan Keselamatan Diperketatkan) secara pentadbiran di kawasan sasaran iaitu lokasi terkesan COVID-19," katanya dalam sidang akhbar berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Isu berkenaan dijawab susulan timbulnya khabar angin yang mendakwa pelaksanaan semula PKP susulan peningkatan jumlah jangkitan wabak COVID-19.

8 September lalu, Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan melebihi tiga angka iaitu 100 kes melibatkan 85 kes tempatan dan 15 kes import.

Daripada 85 kes tempatan itu, 62 kes adalah dari Kluster Benteng LD, manakala 23 kes lagi adalah dari Kluster Sungai.

Tambah beliau lagi, kerajaan hanya menumpukan kepada pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di kawasan sasaran.

"Kita hanya kawal pergerakan rentas melalui PKPD di kawasan sasaran iaitu di Kota Setar dan Tawau.

"Jika kes mendadak, kita tidak tutup negeri, tidak seperti dulu. Kaedah kita kali ini ialah tutup kawasan terlibat sahaja seperti di Tawau, kita tutup penjara," ujarnya lagi. - DagangNews.com