Tiada saksi dan bukti, Sime Darby Plantation berhenti siasat isu serangan seksual pekerja  | DagangNews Skip to main content

Tiada saksi dan bukti, Sime Darby Plantation berhenti siasat isu serangan seksual pekerja 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Sime Darby Plantation (SDP) terpaksa menghentikan siasatan dalaman isu serangan seksual pekerja walaupun itu merupakan kali kedua kes tersebut dibuka semula. 

 

Ini berikutan pihaknya tidak mempunyai bukti, saksi dan malah mangsa untuk meneruskan siasatan berkenaan. 

 

“Setelah menyiasat semula, pengadu memaklumkan wakil Jawatankuasa Jantina kami bahawa dia tidak mempunyai niat untuk membuka semula kes berkenaan dan menafikan terdapat kenyataan yang menyinggung perasaan dibuat kepadanya sejak awal. 

 

“Rakan wanita lain yang telah dikenal pasti sebagai sasaran sebenar kenyataan yang didakwa itu, telah menafikan bahawa dia mengetahui kenyataan tersebut, sekiranya ia dibuat sama sekali,” kata SDP dalam kenyataan hari ini. 

 

Sebelum ini, Associated Press (AP) melaporkan berita yang mengandungi dakwaan rogol serta serangan seksual oleh beberapa wanita yang bekerja di ladang kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia. 

 

Dalam artikel berkenaan, seorang pekerja wanita di SDP mendedahkan bahawa majikannya turut mengeluarkan kata-kata lucah. 

 

Kata SDP, menerusi maklumat yang terdapat dalam laporan itu, pihaknya berjaya mengenal pasti kes berkenaan dengan segera dan membuka semula siasatan walaupun pengadu telah menarik balik aduannya pada April 2019. 

 

“Ketika itu, pengadu berkeras bahawa dia tidak dipaksa atau diarahkan untuk menarik aduannya dan dia melakukannya dengan sukarela. 

 

“Oleh kerana pengadu bersikap tegas untuk menarik balik aduan tersebut, maka syarikat telah menutup isu berkenaan kerana tidak ada saksi lain atas tuduhan itu,” tambah SDP.

 

Kedua-dua individu yang disebut itu masih bekerja di estet berkenaan, di bawah sistem perlindungan yang ditetapkan. 

 

SDP menjelaskan pihaknya mengambil peluang itu untuk mengetatkan keselamatan, proses dan prosedur yang ada untuk tenaga kerja mereka serta mendidik pekerja berhubung tingkah laku yang bersesuaian.

 

Atas dasar keterbukaan, ketelusan dan kerjasama, SDP menekankan syarikatnya akan terus terlibat dalam kolaborasi sedemikian bagi menambah baik dasar-dasar dan amalan dalam memartabatkan hak asasi manusia. - DagangNews.com