Tiada warga kerja TNB terima 'habuan', terlibat sindiket curi elektrik perlombongan bitcoin | DagangNews Skip to main content

Tiada warga kerja TNB terima 'habuan', terlibat sindiket curi elektrik perlombongan bitcoin

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan warga kerjanya tidak pernah menerima sogokan atau ditahan pihak berkuasa, kononnya terlibat dalam sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan bitcoin seperti yang dilaporkan sebahagian media.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, terdapat kekeliruan yang mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan mengenai isu tersebut.

 

"Kami merujuk kepada laporan akhbar berkaitan operasi bersama TNB dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan bitcoin. 

 

"Berlaku kekeliruan yang mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan sebahagian media mengenai kononnya warga kerja TNB menerima sogokan dari sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin. Kekeliruan ini juga semakin tular di media sosial. 

 

“Hakikatnya, kaedah operasi sulit (covert) TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) dibuat untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini. Tiada warga kerja TNB yang ditahan kerana disahkan tiada warga kerja TNB yang menerima habuan dari anggota sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Baharin, pengurusan amat berterima kasih kepada SPRM dan warga kerja TNB yang terlibat dalam operasi itu yang mengambil masa lebih 2 tahun sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka yang terlibat. 

 

"Inisiatif bersama ini telah pun membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu melibatkan 7,209 kes sejak 2018. Operasi sulit itu juga telah membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat," katanya.

 

Beliau berkata, daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap, salah seorang mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan bitcoin secara haram. 

 

 

tnb
Datuk Ir. Baharin Din

 

 

“Pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerja TNB yang memaklumkan kepada pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket untuk menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB. Perkongsian tersebut membawa kepada operasi bersama SPRM. 

 

“SPRM memerlukan masa untuk membina kes yang kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang dan ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya. Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media semalam,” katanya. - DagangNews.com