KUALA LUMPUR 10 Feb. - Penganalisis tidak menolak kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengambil pendekatan untuk memotong 25 mata asas (bps) ke atas kadar dasar semalaman (OPR) menjelang perjumpaan akan datang.
Ini susulan Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan semula, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.
Oleh itu, BNM harus melalui pemotongan OPR. Apa pun, semuanya bergantung pada tempoh PKP,” katanya menurut laporan Bernama.
Pada tahun lalu, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah memotong OPR sebanyak empat kali ke paras terendah, 1.75%.
Bermula penghujung tahun lalu hingga memasuki awal tahun ini, OPR masih dikekalkan 1.75% di mana para penganalisis menggambarkan BNM sedang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Baca : OPR dikekalkan 1.75% - Bank Negara
Pemberian pakej rangsangan dan pemulihan negara yang berada di landasan tepat antara faktor yang mendorong BNM untuk mengekalkan OPR.
Tambah Mohd. Afzanizam, sekatan pergerakan bagaimanapun boleh mendatangkan impak yang serius ke atas ekonomi sekiranya terus dilanjutkan selain tempoh jangka masanya tidak dapat diramalkan.
Disebabkan itu beliau meramalkan pemotongan 25 bps selain turut mengambil kira pengedaran vaksin COVID-19 yang bakal berlaku.
Namun, risiko akan timbul sekiranya orang awam menolak vaksinasi sekali gus merencatkan ‘pergerakan’ ekonomi negara ke arah pemulihan.
Jelas beliau, pemotongan OPR membantu untuk merendahkan kos pinjaman dan meningkatkan perbelanjaan terutamanya dalam kalangan syarikat-syarikat, perbelanjaan modal, pengembangan dan penambahbaikan.
Baca : Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda?
Walaupun langkah itu mendatangkan sisi yang positif, namun sebarang pemotongan lanjut dalam OPR akan menjejaskan industri perbankan yang menyaksikan margin faedah bersih mereka berkurang, ujar Mohd. Afzanizam.
Beliau yakin pemotongan itu akan berlaku sekali sahaja bagi tahun ini dan tidak mungkin dikurangkan menghampiri paras sifar. - DagangNews.com