PUTRAJAYA 12 Ogos – Kementerian Sumber Manusia mengesan perbuatan sebilangan majikan yang didapati dengan sengaja tidak melaporkan pemberhentian pekerja mereka atau melaksanakan pengurangan gaji pekerja.
Menterinya, M Saravanan berkata, majikan dilihat gagal menyerahkan Borang Pemberhentian Kerja (PK) dan ini dapat dikesan susulan terdapat jurang perbezaan yang sangat ketara apabila membandingkan data terimaan Borang PK oleh majikan dengan borang Skim Insuran Pekerjaan (SIP) yang diisi sendiri oleh para pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan.
"Jumlah pekerja yang diberhentikan melalui data terimaan Borang PK dari Januari sehingga Julai adalah 44,426 orang pekerja tempatan dan angka ini adalah rendah berbanding jumlah pekerja yang telah mengisi borang SIP iaitu seramai 67,068 orang.
"Perbezaan seramai 22,642 orang bukan satu jumlah yang kecil tetapi amat ketara perbezaannya dan ini merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Borang PK kata beliau, adalah data penting dalam mengenalpasti pekerja yang memerlukan bantuan dalam aspek pencarian dan pemadanan pekerjaan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19 selain memastikan ekonomi negara terus dipacu.
Menurutnya, lanskap perburuhan negara bagi tahun 2020 disifatkan terjejas ekoran berlakunya pemberhentian pekerja melibatkan pelbagai sektor pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Ketika ini ujarnya, rakyat Malaysia berdepan dengan senario pemberhentian pekerja yang membimbangkan apabila terdapat segelintir majikan yang melakukan penamatan perkhidmatan pekerja tanpa memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
``Seksyen 63 Akta Kerja 1955 menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana majikan yang melakukan pemberhentian pekerja sama ada secara pemberhentian tetap atau sementara serta secara sukarela dan juga pengurangan gaji, majikan hendaklah mengisi Borang PK dan menyerahkannya ke Pejabat Tenaga Kerja sekurang-kurangnya 30 hari sebelum melakukan sebarang pemberhentian atau pengurangan gaji.
``Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana majikan yang didapati dengan sengaja tidak mengisi dan tidak menyerahkan Borang PK selepas melakukan pemberhentian pekerja mahupun pengurangan gaji.
``Kegagalan majikan untuk mengemukakan Borang PK ini jelas melanggar Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000.00 bagi setiap kesalahan,'' katanya.
Saravanan berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia amat mengambil serius perkara ini dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturanperaturan di bawah Akta Kerja yang telah ditetapkan. - DagangNews.com