KUALA LUMPUR 27 Jun - Telekom Malaysia (TM) akan melabur sejumlah RM2.5 juta bagi menaik taraf kemudahan dan peralatan institusi-institusi TVET terpilih dan RM1 juta lagi dalam bentuk biasiswa untuk para pelajar daripada golongan B40.
Sebagai permulaan kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Imri Mokhtar berkata, TM akan membuka peluang pekerjaan kepada hampir 400 orang graduan setahun untuk bekerja dalam ekosistem perniagaannya.
Menurutnya, susulan pelancaran rasmi ‘Portal TVET Madani’ dan pertukaran Memorandum Kerjasama dengan pihak Kerajaan hari ini, TM memperkukuh komitmennya kepada kejayaan TVET Madani menerusi modul-modul pendidikan vokasional terkhususnya, bersama-sama sumbangan berjumlah RM3.5 juta untuk kemudahan dan biasiswa latihan.
"TM pada masa ini sedang dalam peringkat perbincangan akhir dengan beberapa institusi TVET untuk menjalin usahasama yang akan membantu mengubah institusi-institusi berkenaan menjadi pusat-pusat pembangunan teknikal yang bersedia untuk industri, ke arah meningkatkan peluang para graduan mereka mendapat pekerjaan.
"Ini akan dicapai menerusi pengenalan modul-modul yang relevan dengan industri mengenai rangkaian fiber dan set kemahiran digital, pensijilan para pelatih selaras dengan standard industri, serta ujian untuk pensijilan para pelajar," ujarnya.
Syarikat merancang untuk membangunkan barisan pengajar yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam kalangan rakan institusi usahasamanya bagi memberikan panduan, khususnya kepada para pelajar B40, sepanjang perjalanan vokasional mereka, serta berperanan sebagai mentor dan memberi sokongan kepada mereka untuk berjaya.
TM juga bakal melengkapkan rakan institusi usahasamanya dengan akses kepada kemudahan-kemudahan penting, peralatan dan teknologi moden yang relevan bagi menawarkan pengalaman pembelajaran terus kepada para pelajar demi mempersiapkan mereka untuk tugasan sebenar rangkaian fiber dan digital.
“Sukacita kami ingin mengumumkan komitmen kami kepada inisiatif TVET Madani pihak Kerajaan menerusi program komprehensif yang akan melibatkan keseluruhan rantaian nilai. Dengan menumpukan kepada pembangunan kemahiran dan latihan berkaitan industri, TM berhasrat untuk mengubah kehidupan dan merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan ke arah melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran digital,” kata Imri.
“Merentas ekosistem TM, kami memiliki lebih 430 rakan kontraktor fiber, 880 vendor dan lebih 90 rakan teknologi TM 5G Sphere yang akan menyediakan hampir 400 kekosongan jawatan berkemahiran untuk para graduan dalam masa terdekat.
“Pendidikan vokasional akan terus memainkan peranan penting dalam mewujudkan tenaga kerja berkemahiran dan memacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
"Melengkapkan warga belia Malaysia dengan ilmu dan kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor telekomunikasi dan teknologi, kami berhasrat untuk memperkasa generasi bakat berkemahiran yang seterusnya bagi memperoleh kerjaya yang bermakna serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara,” ujar Imri. - DagangNews.com