TNB beli arang batu dari Indonesia bernilai RM13 bilion | DagangNews Skip to main content

TNB beli arang batu dari Indonesia bernilai RM13 bilion

Arbang batu diangkut menerusi sungai di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia. - Gambar Reuters

MELAKA 31 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani perjanjian import arang batu dengan pengeksport Indonesia yang melibatkan nilai berjumlah AS$3 bilion (kira-kira RM13.14 bilion) bagi tempoh tiga tahun.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perjanjian itu bertujuan menjamin bekalan arang batu yang mencukupi selain memastikan pembekalan tenaga oleh TNB tidak terjejas.

 

Menurutnya, nilai kontrak terbabit telah meningkat daripada AS$2.3 bilion pada tahun lepas berikutan kenaikan mendadak harga bahan berkenaan.

 

"Pada awal Januari tahun ini, kerajaan Indonesia telah mengumumkan untuk menghentikan sementara eksport arang batu bagi memenuhi permintaan domestiknya sedangkan kira-kira 65% arang batu yang diperlukan TNB diimport dari sana.

 

"Namun, pada minggu lepas, saya dan pengurusan tertinggi TNB telah ke Indonesia untuk berjumpa dengan pengeksport arang batu. Kita berjaya menandatangani
perjanjian selama tiga tahun itu kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Menara TNB Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 

 

Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media massa selepas Majlis Perasmian Menara TNB Melaka di Melaka pada 31 Mei 2022.

 

 

Mengulas selanjutnya, Takiyuddin berkata selain Indonesia yang merupakan pengimport terbesar arang batu, TNB turut mendapatkan bekalan bahan itu dari Rusia dan Afrika Selatan.

 

Menurutnya, TNB yang sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu,  kini dalam  proses peralihan secara berperingkat termasuk menggunakan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro selain meninjau penggunaan hidrogen.

 

"Ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan TNB untuk memastikan bekalan elektrik negara stabil, berdaya harap, berpatutan serta tidak membebankan rakyat.

 

“Setakat ini, pengguna-pengguna elektrik di negara ini menikmati bayaran bil cukup stabil kerana kerajaan masih memberi rebat dua sen bagi setiap kilowatt jam berbanding negara lain yang mengenakan bayaran surcaj," katanya.

 

Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata usaha berterusan TNB dalam memodenkan grid nasional telah membawa kejayaan apabila Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) negara berkurangan daripada 150 minit pada 2002 kepada 45.25 minit pada 2021. 

 

Malah, katanya, penambahbaikan tersebut turut menjadikan grid elektrik Malaysia sebagai antara yang terbaik di rantau ini selain meletakkan TNB setanding dengan negara-negara maju.

 

Pencapaian berkenaan disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang tinggi serta sistem grid yang berdaya harap, katanya. 

 

"Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kejadian bekalan terputus,” kata beliau. - DagangNews.com