TNB beri sumbangan kepada penggiat seni | DagangNews Skip to main content

TNB beri sumbangan kepada penggiat seni

Yang Dipertua Kelab Kilat Kuala Lumpur, Datuk Omar Sidek menyerahkan sumbangan kepada wakil Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, Mac Ruhayu Mohd Noor di Majlis Penyampaian Sumbangan TNB kepada Penggiat Seni di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR 10 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Kelab Kilat Kuala Lumpur (KKKL) baru-baru ini menghulurkan bantuan kepada golongan penggiat seni yang terjejas semasa pandemik COVID-19.

 

Yang Dipertua KKKL, Datuk Omar Sidek berkata, “Sumbangan kecil kami kepada artis-artis veteran ini diharap dapat meringankan beban mereka yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus punca pendapatan berikutan COVID-19.

 

“Ia juga menzahirkan penghargaan kami kepada penggiat seni tanah air. Sudah setahun pandemik COVID-19 ini menyerang seluruh dunia, dan kita (TNB) sangat memahami banyak organisasi mahu pun individu termasuk para penggiat seni yang terjejas pendapatan sekali gus hilang mata pencarian.

 

“Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa dekat bersama masyarakat, TNB berharap sumbangan tersebut mampu memberikan sedikit sinar kepada penerima menjelang Ramadan tidak lama lagi”, ujar Omar dalam satu majlis ringkas sumbangan itu kepada beberapa pengiat seni termasuk Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, di sini, baru-baru ini.

 

tnb
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol (tiga dari kiri) dan Yang Dipertua Kelab Kilat Kuala Lumpur, Datuk Omar Sidek (paling kiri) bergambar bersama sebahagian daripada penerima sumbangan TNB kepada penggiat seni yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Sumbangan yang julung kali dianjurkan oleh KKKL ini menyasarkan 100 orang pengiat seni dengan kos keseluruhan sebanyak RM100,000 dan sehingga ini, lebih 30 orang telah pun menerima sumbangan masing-masing.

 

“Saya mewakili artis 90-an mengucapkan ribuan terima kasih kepada TNB kerana bersunguh-sunguh memberikan bantuan dan sumbangan kepada kami, para artis. Semoga segala perjalanan bisnes TNB dipermudahkan dan setiap warga kerja TNB dilindungi dan dirahmati-NYA," kata Mac Ruhayu Mohd Noor yang popular dengan lagu Ditakdirkan Kita Bersama.

 

Sementara itu, Mohd Khairi Yaacob dari kumpulan KOOL berkata, bantuan ini sedikit sebanyak mampu membantu membiayai kehidupan mereka. 

 

Kelab Kilat adalah badan kebajikan / sosial bagi syarikat yang terbesar di Asia Tenggara dengan bilangan 35,000 ahli. Ia memfokuskan kepada kegiatan-kegiatan yang bermanfaat seperti kegiatan sukan dan aktiviti sosial yang dapat memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

 

Antara lain aktiviti KKKL adalah memberikan sumbangan kepada penduduk sekitar kejiranan kompleks ibu pejabat TNB dalam kalangan B40 dan pendayung-pendayung sampan di Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan. - DagangNews.com