TNB dicabar ulangi pencapaian kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB dicabar ulangi pencapaian kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia

Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (kiri) menyerahkan jersi pasukan TNB kepada Ahmad Hushairi selepas majlis pengenalan pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena Liga Hoki Malaysia 2023. - Foto Bernama
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) dicabar untuk mengulangi pencapaian pencapaian 20 tahun lalu dengan merangkul kejuaraan berganda pada saingan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) yang bermula pada 9 Februari 2023.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyifatkan sasaran yang diberikan kepada pasukan yang dibarisi 100% pemain tempatan itu adalah realistik.

 

“Kami akan turun untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala TNB, justeru adalah logik kami menambah sasaran lebih baik turut merangkul Piala Liga.

 

"Lagi pun sudah 20 tahun TNB tidak menikmati kemenangan berganda ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim ketika majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di Ibu Pejabat TNB, di Bangsar hari ini.

 

hoki
Datuk Ir. Baharin Din bersama barisan pemain TNB yang akan bersaing di TNB MHL bermula 9 Februari 2023.

 

TNB tidak pernah gagal menyertai TNB MHL sejak diperkenalkan pada 1987 dan dua kali meraih kemenangan berganda pada musim 1991-1992 dan 2003. 

 

Perjuangan TNB seterusnya menjadi getir apabila pasukan-pasukan bertanding dibenarkan mendapat khidmat pemain import termasuk Terengganu Hockey Team (THT) yang menjuarai liga musim lalu.

 

TNB yang kekal mengharungi cabaran dengan pemain-pemain tempatan bagaimanapun berjaya menumpaskan THT 3-2 dalam perlawanan akhir kejuaraan keseluruhan Piala TNB musim lalu. 

 

Musim ini, TNB lebih awal berpeluang memburu kejuaraan apabila memulakan perjuangan dengan bertemu THT dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 9 Februari 2023.

 

“Tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan lain. Berbekalkan semangat Piala Dunia baru-baru ini, tidak mustahil Piala Sumbangsih boleh menjadi milik kami. Jika itu dapat dicapai ia juga menjadi permulaan yang baik musim ini,” kata Baharin merujuk kepada hakikat pemain-pemain TNB adalah tonggak pasukan Piala Dunia.

 

Persembahan membanggakan pasukan negara sebelum tersekat ke suku akhir Piala Dunia, di Bhubaneswar - Rourkela, India bulan lalu, diperkuatkan oleh sembilan pemain TNB iaitu Faiz Helmi Jali, Aminuddin Zain, Ramadan Rosli, Firhan Ashari, Amirul Hamizan Azhar, Norsyafiq Sumantri, Shahril Saabah, Najib Abu Hasan dan Tengku Nasrol Ikmal Hakimie.

 

Ketua Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, persembahan di Piala Dunia mampu meningkatkan keupayaan dan kematangan pemain TNB untuk digarap dalam persaingan tempatan.

 

“Saya merasakan kali ini boleh menjadi musim lebih baik kepada TNB. Berdasarkan prestasi semasa, kami berada dalam kedudukan terbaik untuk merangkul kejuaraan liga selepas kali  terakhir memenanginya pada tahun 2010,” kata bekas kapten pasukan kebangsaan itu.

 

Lapan pasukan akan bersaing dalam kategori lelaki TNB MHL iaitu TNB, THT, Maybank, Nurinsafi Sporting, Universiti Teknologi Mara (UiTM) HA, TNB Thunderbolts dan Young Tigers serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi muka baru musim ini. 

 

Kategori wanita pula melibatkan saingan enam pasukan iaitu KPT-Uniten Thunder, Negeri Sembilan, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, TLHT-MSNT, Young Tigress dan CS Hockey Team. - DagangNews.com