TNB diunjur menjadi penerima manfaat utama percambahan pusat data baharu di Malaysia, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

TNB diunjur menjadi penerima manfaat utama percambahan pusat data baharu di Malaysia, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) diunjur menjadi penerima manfaat utama daripada percambahan pusat data baharu di Malaysia dengan mereka memerlukan bekalan elektrik yang tinggi untuk beroperasi.

 

Kenanga Research berkata, selain pemulihan ekonomi, permintaan terhadap tenaga elektrik dalam tempoh terdekat akan mendorong percambahan pusat data baharu serta penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

 

Katanya, dalam tempoh 12 bulan akan datang, lima pusat data baharu akan mula beroperasi dengan mereka dijangka menggunakan kira-kira 2,000MW elektrik.

 

"TNB berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kelebihan ini memandangkan margin simpanannya sebanyak 40%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan TNB pada 2QFY23 terkesan akibat margin bahan api negatif (yang timbul daripada kos inventori arang batunya yang jauh lebih tinggi daripada harga arang batu semasa).

 

Katanya, kos bahan api yang lebih lemah juga menyebabkan penghutang Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) merosot sebanyak 36% kepada RM8.9 bilion pada 2QFY23 daripada RM13.8 bilion pada 1QFY23 dan 47% daripada paras tertinggi daripada RM16.9 bilion pada 4QFY22.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY23 sebanyak 13% kerana mengaitkan margin bahan api negatif RM650 juta ke dalam ramalan kami.

 

"Kami juga mengurangkan ramalan unjuran dividen sesaham bersih (NDPS) FY23F kami secara berkadar berdasarkan nisbah pembayaran yang tidak berubah sebanyak 50%," katanya.

 

Kenanga Research berkata, pihaknya menyukai TNB kerana kedudukan dominan mereka dalam penjaan kuasa, penghantaran dan pengedaran di Malaysia manakala pendapatan defensifnya disokong ekonomi domestik yang berdaya tahan dan aset yang sebahagian besarnya dikawal selain status saham berkaitan indeks wajaran tingginya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM11.15 sen sesaham. - DagangNews.com