TNB giat pulihkan, salurkan elektrik ke kawasan terjejas banjir di Pantai Timur | DagangNews Skip to main content

TNB giat pulihkan, salurkan elektrik ke kawasan terjejas banjir di Pantai Timur

TNB akan segera memberikan semula bekalan, sebaik keadaan mengizinkan.

KUALA LUMPUR 28 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah di Terengganu dan Kelantan yang terjejas akibat banjir.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

 

Menurutnya, TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang sedang diuji dengan bencana dan TNB juga sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan elektrik di waktu bencana banjir ketika ini.

 

Katanya, TNB akan berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin, namun keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha membaikpulih bekalan.

 

“Antara keutamaan kami adalah memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain termasuk dengan membuat pengujian bagi memastikan keadaan aset-aset ini selamat untuk menyalurkan bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai organisasi yang sentiasa prihatin dengan dugaan dialami rakyat yang sedang diuji dengan bencana, beliau berkata, TNB akan segera memberikan semula bekalan, sebaik keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

 

“Selain PPS, kami akan memastikan bekalan elektrik yang berterusan ke premis strategik seperti hospital dan balai polis termasuk melalui set janakuasa mudah alih jika premis berkenaan tidak dapat menerima bekalan daripada pencawang.”

 

Datuk Ir Baharin Din
          Datuk Ir Baharin Din

 


Baharin juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau facebook TNB CareLine jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

 

“Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

 

''Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan,” kata beliau.
 

 

TNB

 


Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

 

Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik. - DagangNews.com