TNB hargai peranan media | DagangNews Skip to main content

TNB hargai peranan media

Pengerusi TNB, Dato' Seri Mahdzir Khalid (kanan) beramah mesra bersama Pengarang Urusan DagangNews.com, Johardy Ibrahim (dua dari kiri) dan wakil-wakil media lain di Majlis Iftar Pengurusan Tertinggi TNB bersama Pengarang Kanan di Ibu Pejabat TNB Bangsar pada 4 Mei lalu. - Gambar TNB

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghargai hubungan baik dan peranan media selama ini dalam menyampaikan maklumat serta penerangan jelas berkenaan isu-isu berkaitan bekalan elektrik kepada rakyat.

 

Pengerusi TNB, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, hubungan TNB dan media tidak boleh dipisahkan dalam apa jua keadaan, baik ketika ingin menyampaikan berita baik ataupun melaporkan kejadian yang tidak diingini.

 

“Hubungan yang wujud ini adalah satu ikatan yang perlu dieratkan dan dikekalkan, kerana menerusi pelaporan rakan-rakan media, banyak isu-isu berkaitan bekalan elektrik yang menjadi kebimbangan rakyat dapat diperjelaskan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Pengurusan Tertinggi TNB Bersama Pengarang Kanan Media yang diadakan di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu.

 

Jelas Mahdzir yang genap setahun menjadi Pengerusi TNB, sebagai syarikat GLC yang bertanggungjawab terhadap bekalan elektrik, TNB menghadapi pelbagai cabaran demi menjamin kelancaran operasi 24 jam untuk manfaat rakyat.

 

“Sepanjang setahun menjadi Pengerusi TNB, saya menyaksikan kegigihan warga kerja menjamin kestabilan seluruh rantaian pembekalan bermula daripada penjanaan hinggalah kepada pelanggan di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dalam ucapannya, berharap hubungan antara TNB dan pengamal media dapat diperkukuhkan memandangkan terdapat persamaan operasi tanpa henti kepada masyarakat.

 

TNB
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din

 

“Saya berpendapat bahawa TNB dengan media tidak boleh dipisahkan, kerana kewujudan TNB adalah sepanjang masa, 24 jam dari pagi sampai ke petang, malam dan keesokan harinya.

 

“Penyampaian perkhidmatan bekalan elektrik ini, sebati dengan dunia kewartawanan yang anda terajui,” katanya.

 

Lebih 40 pengarang kanan dan wartawan media cetak dan elektronik hadir pada majlis itu yang diadakan bagi menghargai peranan media sepanjang perjalanan TNB memacu pembangunan negara.

 

Antara agensi media yang hadir termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Utusan Malaysia, Kosmo!, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, Sinar Harian, Astro Awani, RTM, TV3, The Malaysian Reserve, Malaysia Gazzette, UtusanTV dan Dagang News. - DagangNews.com