TNB kongsi petua penggunaan elektrik ketika sambutan raya | DagangNews Skip to main content

TNB kongsi petua penggunaan elektrik ketika sambutan raya

Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Dalam keterujaan menyambut Syawal tahun ini berikutan fasa peralihan ke endemik dan cuti umum yang panjang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan beberapa panduan keselamatan elektrik dan jimat tenaga yang mudah dipraktikkan pengguna yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

 

Untuk kediaman yang akan ditinggalkan, petua-petua berikut boleh diamalkan:

 

1. Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir; 

 

2. Pastikan semua soket elektrik dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable); 

 

3. Gunakan alat pengukur masa (timer) sekiranya ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan agar ia tidak menyala 24 jam; dan 

 

4. Periksa peralatan elektrik yang ingin terus dipasang bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar.

 

Untuk kediaman yang akan menjadi tumpuan keluarga berkumpul:

 

 

1. Elakkan dari menggunakan soket elektrik secara berlebihan bagi mengelakkan beban elektrik keterlaluan; 

 

2. Pastikan semua soket elektrik berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable).

 

3. Buka gulungan kabel penyambung ketika digunakan bagi menggelakkan ia menjadi terlalu panas sehingga mencetuskan kebakaran; dan

 

4. Periksa peralatan elektrik yang ingin digunakan dan elakkan beban berlebihan pada soket elektrik.

 

Para pengguna dinasihatkan menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB Careline atau Twitter @Tenaga_Nasional untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. - DagangNews.com