KUALA LUMPUR 24 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmen membiayai pelajar dari keluarga berpendapatan terendah untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian menerusi tajaan 1,760 lagi Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) bagi tahun 2021.
Tajaan ini diteruskan dalam suasana sukar susulan pandemik COVID-19 bagi menyokong usaha meningkatkan kemahiran modal insan.
Penyerahan Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada para pelajar bagi sesi pengambilan 2021 itu disempurnakan oleh Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Hasan, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018, lebih 6,800 orang pelajar dari golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian masing-masing meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat pengajian.
Selain MyBF, katanya, TNB melalui YTN yang ditubuhkan pada 1993, turut meneruskan komitmen pemberian biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar pengajian tinggi. Sehingga kini, lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion.
“Sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.
“Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain daripada program-program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan,” katanya.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah YTN, Dato' Ir. Dr. Ibrahim Hussein.
TNB memperuntukkan RM49 juta bagi membiayai pengajian pelajar MyBF pengambilan 2021 di lebih 45 institusi pengajian di seluruh Malaysia dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut Hasan, Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada para pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau pun bayaran balik. Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pangkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Unit Pusat Universiti (UPU), Sistem e-Kasih dan mereka tidak perlu membuat permohonan mahu pun melalui proses temuduga.
Surat Tawaran MyBF dikeluarkan bersekali dengan Surat Tawaran ke IPTA oleh institusi masing-masing bagi memastikan isu kewangan bukan masalah utama pelajar untuk memulakan pengajian. Inisiatif TNB ini diharap bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah bagi menampung kos pengajian, malah kemudiannya membolehkan anak-anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik demi masa depan diri dan keluarga serta masyarakat.
Daripada segi pencapaian pelajar, 33.4% pelajar MyBF berjaya mendapat CGPA 3.50 dan ke atas pada semester 2 tahun pengajian 2020/2021 dan analisa pencapaian akademik mendapati purata keseluruhan pelajar yang berjaya mencapai tahap CGPA 3.00 ke atas adalah melebihi 75%.
Program MyBF bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi juga membangunkan kompetensi pelajar bersama-sama nilai dan budaya murni yang mementingkan kesejahteraan sejagat termasuk dalam aspek penjagaan alam sekitar.
Sebagai simboliknya, TNB turut mengadakan acara menanam pokok bersama pelajar di majlis penyerahan MyBF itu dalam usaha menerapkan nilai kelestarian dalam budaya kehidupan generasi masa depan.
Ia seiring inisiatif Hala Tuju Kelestarian TNB dengan sasaran pelepasan sifar bersih yang menyumbang kepada usaha menangani perubahan iklim.
Sementara itu, Sakthivel A/L Rajasingam, 19, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Malaysia Pahang berkata, beliau gembira TNB memilihnya sebagai penerima MyBF sebab bebanan kepada keluarga akan berkurang.
''Saya tidak perlu risau tentang kewangan keluarga dan boleh fokus kepada pelajaran, tidak risau lagi jika saya akan memberi beban kepada ibu bapa.
''MyBF sangat membantu dari segi kewangan kerana MyBF ini kita tidak perlu bayar balik, jadi memang membantu pelajar untuk lebih fokus kepada pelajaran, supaya kita boleh mencapai cita-cita kita. Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang electrical engineer, kalau boleh di TNB,'' katanya.
Bagi Siti Nurina Mohd Tawfek, 19, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (Perubatan), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga amat bersyukur kerana dapat menyambung pelajaran ke peringkat ke lebih tinggi, diploma.
''Saya asal daripada keluarga susah jadi saya rasa sangat bertuah bila dapat Dermasisma ini. Kalau tidak kerana MyBF, mungkin saya akan teruskan bekerja.
''Selepas habis SPM saya ada cari pengalaman bekerja sebagai operator kilang, dan macam macam kerja yang saya cuba.
''Saya harap untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ke lebih tinggi, mungkin nanti ke peringkat ijazah ataupun ke luar negara. Saya bercita-cita untuk jadi jurutera dan membantu keluarga saya,'' kata Siti Nurina. - DagangNews.com