KOTA BHARU 17 Mac - Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima tajaan bernilai RM6.5 juta dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penubuhan tiga buah Anjung Kasih YKN, setakat ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata tajaan itu membabitkan penubuhan Anjung Kasih YKN di Hospital Serdang, Hospital Melaka dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Katanya, seramai 80,574 waris pesakit telah mendapat manfaat dari 16 Anjung Kasih YKN di seluruh negara yang menjadi rumah penginapan sementara untuk golongan yang memerlukan khususnya ahli keluarga yang kurang berkemampuan tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.
“Bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB HRPZ II Kota Bharu yang membabitkan jumlah bernilai RM1.5 juta ia dijangka akan memberikan manfaat kepada keluarga pesakit bermula Disember ini dengan mempunyai kapasiti sebanyak 84 katil pada satu-satu masa.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited terhadap keperluan rakyat bagi menubuhkan Anjung Kasih YKN di hospital yang menjadi rujukan kepada pesakit yang datang dari luar daerah. Waris pesakit yang mengiringi pesakit tidak perlu berulang alik dari rumah atau menginap di hotel dengan kadar sewa yang agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.5 juta kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali; Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron.
Mengulas lanjut, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kemasukan waris pesakit ke Anjung Kasih YKN itu juga akan dipastikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan temasuk melakukan saringan suhu dan sebagainya bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19.
“Selain itu, tempat tinggal sementara ini juga turut dibahagikan ruang kepada mereka yang berkeluarga, dan ada juga ruang untuk mereka yang datang secara individu sama ada lelaki atau wanita ia akan diasingkan sekali gus untuk memberi keselesaan dan menjamin keselamatan pengiring waris.
“Pihak kami juga turut mengalu-alukan sumbangan badan-badan korporat untuk menyalurkan sumbangan kepada YKN bagi memperluaskan lagi pembinaan Anjung
Kasih YKN untuk membantu keluarga pesakit di seluruh negara ketika mendapatkan rawatan,” katanya. - DagangNews.com