TNB tiada cadangan jual 2 anak syarikat - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

TNB tiada cadangan jual 2 anak syarikat - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menekankan bahawa pihaknya tiada sebarang cadangan untuk melepaskan 2 anak syarikatnya, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Anak syarikat itu membabitkan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (GenCo), yang tertumpu kepada perniagaan jana kuasa tenaga domestik dan TNB Retail Sdn Bhd (Retailco) pula bagi perniagaan runcit tenaga elektrik. 

 

"Kumpulan buat masa ini akan menumpukan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi," jelas penganalisisnya, Ngo Siew Teng ketika penganjuran Hari Korporat Malaysia tahunan yang diadakan secara maya minggu lalu. 

 

Pada November lalu, terdapat laporan agensi antarabangsa yang memetik sumber, bahawa TNB sedang bekerjasama dengan penasihat berhubung rancangan penstrukturan semula dan menyasar untuk memuktamadkan proses itu seawal separuh pertama tahun depan. 

 

Bagaimanapun, TNB kemudiannya menafikan laporan berkenaan. Syarikat itu menjelaskan, tidak memulakan sebarang proses penyenaraian pada masa ini, kerana tumpuan adalah untuk memacu kecekapan operasi syarikat penjanaan.

 

Sejajar dengan pelan transformasi strategiknya, Reimagining TNB dan mandat pemegang saham yang diluluskan Februari lalu, kumpulan sudah menyelesaikan penyusunan semula GenCo pada 1 Oktober lalu.

 

Pemindahan aset kepada Retailco pula dijangka dapat diselesaikan pada Januari 2021. 

 

Dalam analisis firma penyelidikan itu, Siew Teng berkata, TNB mempunyai sasaran untuk mencapai 8,300 MW tenaga diperbaharui (RE) menjelang 2025. 

 

Setakat November, kapasiti RE kumpulan itu adalah 3,390MW iaitu 2,724MW di peringkat domestik manakala 666MW melalui peringkat antarabangsa. 

 

"Strategi pertumbuhan RE TNB ini akan memberi fokus kepada aset antarabangsa di pasaran atau rantau terpilih yang mempunyai pertumbuhan pasaran seperti United Kingdom, Eropah dan Asia Tenggara dan aset kelas/teknologi tertentu yang menjadi kunci kepada peralihan tenaga. 

 

"Kumpulan turut memberi tumpuan kepada aset domestik dengan menyertai projek solar berskala besar (LSS),  RE berskala kecil dan projek solar di atas bumbung," katanya. 

 

TNB juga dalam masa sama, sedang berusaha untuk menangani isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi memastikan perolehan daripada jana kuasa arang batu tidak melebihi 25%. 

 

"Apabila loji arang batu akan dihentikan secara berperingkat, perolehan TNB yang berkaitan arang batu sepatutnya tidak akan lebih daripada 20% pada 2030 berbanding 22.1% tahun ini," katanya. 

 

Bagi lanjutan tempoh kawal selia kedua (RP2) untuk Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) selama setahun, firma itu menjangkakan pulangan 7.3% tahun ini, sama seperti RP2. 

 

Pada Disember lalu, kerajaan mengumumkan lanjutan RP2 IBR dengan purata tarif asas semasa pada 39.45 sen/kWj dan Jadual Tarif Elektrik dikekalkan dan akan terus boleh digunakan sehingga 31 Disember 2021.

 

Mengenai impak perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0, CGS-CIMB menjangkakan ia akan memberi sedikit kesan negatif kepada pendapatan TNB walaupun syarikat itu diklasifikan sebagai perkhidmatan penting. 

 

Siew Teng berkata, ini mungkin disebabkan permintaan tenaga elektrik yang rendah. 

 

Sebelum itu, TNB menyatakan keseluruhan permintaan akan menyusut sekitar 6 hingga 10% bagi tahun kewangan 2020. 

 

"Tetapi, kami percaya permintaan tahun ini tidak akan mengalami banyak penurunan seperti 2020, memandangkan PKP 2.0 hanya dilaksanakan di beberapa negeri sahaja berbanding PKP 1.0 melibatkan seluruh negara. 

 

"Tambahan pula, dalam tempoh PKP 2.0 ini, ia hanya memakan masa 2 minggu dan banyak perniagaan dibenarkan beroperasi," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, berdasarkan analisis sensitif yang dijalankan firma itu, pendapatan TNB bagi tahun kewangan 2021 dijangka menyusut antara 1 hingga 2% sekiranya permintaan elektrik jatuh antara 6 hingga 10%. - DagangNews.com