Tony Fernandes tuntut pampasan selepas AirAsia kerugian akibat gangguan CrowdStrike | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes tuntut pampasan selepas AirAsia kerugian akibat gangguan CrowdStrike

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berpendapat, syarikat penerbangan yang terjejas akibat gangguan global CrowdStrike baru-baru ini seharusnya diberikan pampasan atas kerugian akibat pembatalan atau pengguhan penerbangan.

 

Beliau berkata, apabila syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan atau menangguhkannya, penumpang akan meminta bayaran balik atau pampasan, jadi perkara yang sama perlu dikenakan kepada syarikat yang menyebabkan syarikat penerbangan mengalami kerugian.

 

Ketika ditanya sama ada akan menuntut pampasan, beliau berkata: "100% saya akan tuntut. Sekiranya berlaku kepada awak, adakah awak akan tuntut? Sudah pasti.

 

"Jika kami menangguhkan penerbangan, sudah pasti pelanggan akan mencari kami untuk mendapatkan bayaran balik atau jika penerbangan dibatalkan, saya perlu mebayar pampasan kepada semua yang terlibat. Jadi untuk Crowdstrike, saya tidak seharusnya meminta mereka datang kepada saya. Microsoft atau sesiapa sahaja yang terlibat, mereka seharusnya menawarkan pampasan kepada kami.

 

"Secara prinsipnya, kalau kita membuat kesalahan, kita perlu membayar pampasan. Kami dan syarikat penerbangan lain mengalami kerugian yang sangat besar. KErugian keseluruhan syarikat penerbangan yang terlibat bernilai AS$83 bilion," katanya selepas merasmikan penerbangan AirAsia ke Kuching dan Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTASAAS), hari ini.

 

Jumaat lalu, institusi utama, termasuk syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara, dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike.

 

CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

 

Tony berkata, syarikat penerbangan itu menguruskan operasi secara manual, bermula daripada daftar masuk, mencetak pas kemasukan sehingga penghantaran bagasi, dengan lebih 100 sukarelawan Allstar membantu di lapangan.

 

"Ini mengingatkan saya pada zaman awal kami 23 tahun lepas, apabila semuanya dilakukan secara manual. 

 

"Kami berbangga kerana telah meminimumkan pembatalan penerbangan disebabkan ketangkasan kami beralih kepada operasi manual dan komitmen ikhlas kami berkhidmat kepada rakyat," katanya. - DagangNews.com