Tropicana lancar SouthPlace 2 Shoppes & Residences di Subang Jaya pada suku keempat 2023 | DagangNews Skip to main content

Tropicana lancar SouthPlace 2 Shoppes & Residences di Subang Jaya pada suku keempat 2023

Ilustrasi artis mengenai pembangunan SouthPlace 2 Shoppes & Residences, yang terdiri daripada 553 unit pangsapuri servis dan 74 lot runcit
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Tropicana Corp Berhad merancang untuk melancarkan SouthPlace 2 Shoppes & Residences di Tropicana Metropark, kawasan seluas 35.6 hektar di Subang Jaya pada suku keempat tahun ini.

 

Pelancaran itu berikutan 90% pengambilan bagi projek  SouthPlace Shoppes & Residences yang terdahulu.

 

Pengarah Eksekutif Pemasaran dan Jualan Tropicana, Ixora Ang berkata, SouthPlace 2 Shoppes & Residences sebelum ini mula dilancarkan pada Mei lalu.

 

“SouthPlace 2 Shoppes & Residences membina kejayaan tawaran kediaman yang telah siap seperti Pandora, Paloma dan Paisley sambil mengembangkan tawaran runcit SouthPlace Shoppes dengan konsep komersial terbuka berhadapan Taman Bandar Tropicana Metropark. 

 

"Kami juga berbesar hati untuk mengalu-alukan Mercato sebagai penyewa utama yang akan datang untuk menambah nilai lebih kepada kejiranan yang sudah meriah ini" katanya dalam satu kenyataan.

 

tropicana2

 

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM520 juta, SouthPlace 2 Shoppes & Residences terdiri daripada satu pangsapuri servis 553 unit dan 74 lot runcit di atas tanah pegangan bebas seluas 1.8 hektar. 

 

SouthPlace 2 Residences menawarkan unit satu hingga empat bilik tidur dengan luas binaan antara 583 hingga 1,129 kaki persegi. 

 

Unit berkenaan akan dilengkapi sebahagiannya dengan kabinet dapur, penghawa dingin, pemanas air dan kunci digital. Harga jualan bermula dari RM506,000.

 

Sementara itu, komponen runcit SouthPlace 2 Shoppes terletak di dua tingkat pertama pembangunan. Lot itu mempunyai binaan antara 562 hingga 3,266 kaki persegi dan harga purata RM1.58 juta. 

 

Menurut kenyataan itu, lot runcit itu direka bentuk untuk memenuhi pelbagai perniagaan dengan tumpuan kepada pemandu runcit seperti kafe dan tempat makan kasual, bar dan restoran, kedai serbaneka dan barangan keperluan, kesihatan dan kesejahteraan serta pendidikan. 

 

“Hab runcit SouthPlace 2 Shoppes sesuai untuk perusahaan yang ingin menyediakan kawasan tadahan segera dengan unjuran 26,000 penduduk Tropicana Metropark dan populasi sehingga 1.2 juta," katanya. - DagangNews.com