KUALA LUMPUR 30 Julai - Tune Protect Group Bhd melantik How Kim Lian sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) baharunya berkuat kuasa Isnin, menggantikan Rohit Nambiar yang meletak jawatan pada Mei lalu.
Peranan baharu How melibatkan memperdalam penembusan Tune Protect ke dalam ekosistem gaya hidup dan melibatkan diri dengan pemain serantau utama untuk menjadikan kumpulan itu sebagai penyedia insurans serantau yang terkemuka dalam sektor pelancongan.
Beliau akan memberi tumpuan untuk mempamerkan keupayaan kumpulan sebagai penyedia perkhidmatan yang komprehensif, merangkumi teknologi dan insurans semula, menyampaikan pengalaman pelanggan yang konsisten dan penawaran produk global.
"Pengalamannya yang luas dan rekod prestasi terbukti dalam pengurusan kewangan dan pembangunan strategik menjadikan beliau pemimpin yang ideal untuk memajukan Tune Protect sebagai pemain serantau yang penting.
"Kami yakin How akan mengukuhkan Tune Protect menjadi organisasi jualan dan perkhidmatan yang lebih kukuh yang akan terus berkembang dan mencapai tahap yang lebih tinggi di bawah kepimpinannya," kata pengerusi Tune Protect Mohamed Khadar Merican.
How menyertai syarikat itu pada 2020 sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan yang menyelia portfolio perolehan, undang-undang dan kesetiausahaan korporat, di samping tanggungjawab terasnya.
Beliau bertanggungjawab menyemak dan mewujudkan strategi kewangan utama dalam menyelaraskan strategi korporat syarikat dengan menilai arah aliran operasi kewangan, pengukuran dan tahap produktiviti, selain daripada melihat prospek pemerolehan dan pengembangan, mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan dan mengumpul modal untuk membiayai pengembangan.
"Dengan memanfaatkan teknologi dan pengetahuan industri kami yang mendalam, terutamanya dalam sektor pelancongan, kami akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain insurans terkemuka dalam ekosistem perjalanan," kata How.
Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah di Tune Protect Re Ltd dan Tune Protect Thailand.
Sebelum menyertai Tune Protect, How merupakan timbalan CFO kumpulan di AirAsia. - DagangNews.com