NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Nov - Selepas berjaya merangkul kejuaraan badminton Terbuka Scotland, pemain muda negara Ng Tze Yong mahu memburu kejuaraan keempat tahun ini di Cabaran Antarabangsa Wales, bermula Rabu ini.
Dalam aksi final yang berlangsung semalam, Tze Yong mudah mengetepikan cabaran rakan senegara, Soong Joo Ven 21-18, 21-14 di Arena Emirates.
"Perlawanan semalam memang agak sukar kerana kedua-dua kami sudah mengetahui corak permainan masing-masing. Dulu kami pernah berlatih bersama dalam tempoh setahun," katanya.
Dia memberitahu, disebabkan mereka berdua sudah mengetahui corak permainan antara satu sama lain kemenangan dapat ditentukan melalui aksi pantas dan terbaik.
"Jadi selepas ini saya cuba untuk mendapatkan satu lagi kejuaraan tahun ini di Wales," katanya turut menjadi juara di Cabaran Antarabangsa Belgium dan Terbuka Poland.
Tze Yong yang turut muncul naib juara di Terbuka Czech tahun ini akan memulakan aksi di Wales dengan berdepan wakil India, Subhankar Dey pada pusingan pertama.
Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara yang terkenal dengan gelaran 'Patatimo' Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri untuk mengikut jejak Tze Yong semalam tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Christopher Grimley-Matthew Grimley 20-22, 16-21.
Nasib yang sama turut dilalui beregu wanita wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing apabila tumpas kepada pilihan utama dari Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai, 14-21, 12-21.-Dagangnews.com