UCSI ungguli tangga teratas di Malaysia untuk kebolehpasaran graduan | DagangNews Skip to main content

UCSI ungguli tangga teratas di Malaysia untuk kebolehpasaran graduan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Universiti UCSI telah disenaraikan sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dalam soal kebolehpasaran graduan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2021-2022 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

 

Kajian ini dilakukan setiap tahun dan maklumat telah diperoleh daripada responden yang telah menamatkan pengajian dari universiti ini.

 

Dengan indeks kebolehpasaran sebanyak 100%, UCSI berjaya mengekalkan prestasi yang cemerlang seperti yang telah ditunjukkan dalam siri kajian terdahulu.

 

Dalam kajian terkini, seramai 1,653 graduan UCSI telah memberi respon kepada soal selidik kajian tersebut dan jumlah ini menghampiri dua kali ganda daripada jumlah institusi yang menduduki tempat kedua.

 

"Kebolehpasaran dan kejayaan graduan adalah aspek penting dalam strategi penjenamaan UCSI," kata Naib Canselor UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.


 

Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir
          Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

 


"Kami gembira kerana pelajar kami telah berjaya menjejak laluan kerjaya yang cemerlang. Kami berasa bangga melihat pelajar-pelajar yang telah menjadi usahawan yang berjaya dengan memanfaatkan media sosial dan menjadi pemacu perubahan yang terus memberikan impak positif kepada masyarakat dalam mencipta peluang pekerjaan."

 

"Usaha keras dan bersungguh-sungguh sangat diperlukan untuk mengekalkan prestasi cemerlang ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan UCSI, pelajar, alumni, dan rakan-rakan industri Universiti atas sokongan mereka selama ini," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Hasil daripada kajian ini merupakan pencapaian terkini UCSI selepas QS World University Rankings 2024 yang meletakkan UCSI sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk hasil pekerjaan.

 

Dalam hal ini, UCSI berbangga kerana telah melahirkan empat penerima Forbes 30 Under 30 Asia dan dua pemenang Prestige 40 Under 40. UCSI juga telah melahirkan ramai usahawan, saintis, doktor, pemuzik terkenal dan personaliti media dalam barisan alumninya. - DagangNews.com