UEM Edgenta nafi tuduhan berkaitan projek MRT2 ke atas anak syarikat | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta nafi tuduhan berkaitan projek MRT2 ke atas anak syarikat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 April - UEM Edgenta Berhad, syarikat induk kepada Edgenta Propel Berhad (EPB) menafikan beberapa tuduhan dibuat ke atas anak syarikatnya berhubung projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) Laluan Putrajaya. 

 

Ini berhubung saman yang difailkan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. (AZSB) atas dakwaan EPB gagal menyelesaikan sub kontrak bernilai RM87 juta di bawah projek tersebut. 

 

“Syarikat sekeras-kerasnya menafikan tuduhan perancangan kerja tidak betul, peruntukan sumber dan tuduhan mengelirukan lain ke atas EPB. 

 

“EPB telah berunding dengan peguamnya, Tetuan Zul Rafique & Partners, berpendapat bahawa saman ini tidak berasas dan akan membela dengan tegas daripada tuduhan tersebut,” jelas UEM Edgenta menerusi makluman di Bursa Malaysia.

 

AZSB yang merupakan anak syarikat Ahmad Zaki Resources Berhad telah menganugerahkan sub kontrak itu kepada EPB pada tahun 2016. 

 

Ini melibatkan penempatan semula kerja-kerja telekomunikasi untuk memudahkan pembinaan jalan jejambat dari Persiaran Daeng di Bandar Sri Damansara ke Jinjang.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia semalam, UEM Edgenta memberitahu, AZSB menuntut RM23.75 juta sebagai nilai ganti rugi.

 

Selain itu, turut menyaksikan tuntutan RM1.85 juta sebagai perbezaan kos yang ditanggung oleh syarikat, melibatkan pengganti sub-kontraktor pihak ketiga, dan RM28,300 sebagai kos untuk ketidakhadiran atau ketidakpatuhan oleh EPB.

 

Selain itu, AZSB turut menuntut kira-kira RM5 juta sebagai ganti rugi akibat yang ditanggungnya selain RM250,228 merupakan 5% yuran pentadbiran daripada ganti rugi akibat yang dialami oleh syarikat itu. - DagangNews.com