UEM Sunrise ambil alih tanah berharga A$22.19 juta bagi pembangunan 2 pangsapuri di Perth, Australia | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise ambil alih tanah berharga A$22.19 juta bagi pembangunan 2 pangsapuri di Perth, Australia

Ilustrasi artis mengenai pembangunan The Oval di Subiaco East, Perth, Australia.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - UEM Sunrise Berhad berjaya mengambil alih tanah berharga A$22.19 juta untuk pembangunan dua pangsapuri di Subiaco East, Perth, Australia Barat.

 

Pemaju hartanah itu berkata, mereka telah membeli Lot 1 dan 2 The Oval presint di Subiaco East daripada DevelopmentWA.

 

Pembangunan kediaman bercampur itu terdiri daripada dua menara dengan kira-kira 430 pangsapuri merentasi dua lot itu, tertakluk kepada kelulusan pembangunan. 

 

Projek itu juga merangkumi sehingga 12% rumah mampu milik dengan pembinaan akan bermula pada pertengahan 2026.

 

australia
Dean Mudford (kiri) bersama Menteri Perancangan Tanah, Perumahan, Gelandangan Australia Barat, John Carey (tengah) dan Suffian Abdullah ketika memeterai perjanjian pengambilalihan Lot 1 dan 2 Subiaco East di Perth, Australia Barat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan DevelopmentWA dalam projek penting itu dan ia merupakan usaha pertama kami dalam pasaran kediaman Australia Barat.

 

Berikutan kejayaan projek di Melbourne, beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk membawa kepakaran tempatan dan global mereka untuk membangunkan presint kediaman berkualiti tinggi ini yang akan melengkapkan warisan dan landskap Subiaco Oval.

 

"Kami sudah lama ingin melabur secara aktif di Perth, perkembangan ini merupakan peluang terbaik untuk menyampaikan bekalan perumahan baharu secara berskala dan menjana pelaburan yang lebih besar untuk bandar. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan DevelopmentWA, pihak berkepentingan tempatan dan komuniti dalam langkah seterusnya untuk projek ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DevelopmentWA, Dean Mudford berkata, ia merupakan antara projek pembangunan semula WA yang akan membantu memberikan perumahan baharu yang sangat diperlukan dan menyokong pemulihan pusat bandar Subiaco dan pusat aktiviti West Leederville. - DagangNews.com