UEM Sunrise tamatkan rundingan cadangan penggabungan dengan EcoWorld | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise tamatkan rundingan cadangan penggabungan dengan EcoWorld

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Susulan cadangan penggabungan telah ditolak oleh Eco World Development Group Berhad (EcoWorld), UEM Sunrise Berhad (UEMS) menamatkan segala rundingan berhubung perkara berkenaan.

 

Sehubungan itu, UEMS berhasrat untuk meneruskan tumpuan ke arah pelaksanaan strategi pertumbuhan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu pemaju hartanah terbesar negara, jelas kumpulan syarikat berkenaan.

 

“Cadangan penggabungan UEMS dan EcoWorld sebagai sebuah entiti lebih besar dibangkitkan oleh UEM Group Berhad dan telah dibincangkan dengan cermat oleh Lembaga Pengarah Syarikat.

 

Baca : EcoWorld tolak cadangan bergabung dengan UEM Sunrise

 

“Malah, Lembaga Pengarah UEMS telah bersetuju pada 30 Disember lalu untuk memasuki fasa berikutnya, iaitu proses formal dari usaha wajar,” ujar UEMS dalam sebuah kenyataan malam tadi.

 

Semalam, EcoWorld mendedahkan bahawa syarikat itu tidak akan meneruskan cadangan penggabungan berkenaan setelah mengambil kira pertimbangan daripada perbincangan dengan UEMS dan penilaian terperinci oleh Lembaga Pengarah.

 

Kumpulan UEM mencetuskan cadangan gabungan dengan EcoWorld pada Oktober 2020, untuk  membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dalam menawarkan kepakaran unggul untuk setiap segmen industri hartanah.

 

Baca : UEM Sunrise-EcoWorld Development Group bakal bergabung?

 

Dalam cadangan itu, UEMS berhasrat untuk menerbitkan saham baharu pada kadar 44.3 sen setiapnya dan ditukarkan untuk saham EcoWorld pada nilai 46.9 sesaham. 

 

Beberapa hari selepas itu, EcoWorld meminta untuk memberi ruang dan masa bagi mempertimbangkan cadangan berkenaan sehingga 2 Januari lalu. 

 

Baca : (ANALISIS) Hanya Khazanah yang beria-ia gabungkan UEM Sunrise-EcoWorld

 

Baca : UEM Sunrise untung, EcoWorld rugi - Kenanga

 

Tambah UEMS, pihaknya tetap optimis terhadap prospek industri itu walaupun terdapat ketidakpastian ekonomi dan keadaan pasaran yang mencabar.

 

“Kami akan memanfaatkan rancangan dan strategi pemasaran digital pertama kami, tumpuan pelanggan yang terkemuka di pasaran dan melancarkan produk yang disesuaikan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

 

“Dengan kunci kira-kira yang sihat, UEMS berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong rancangan pertumbuhannya,” ujar kumpulan syarikat itu.

 

Setakat 11.18 pagi, nilai saham UEMS jatuh RM0.01 kepada RM0.43, manakala saham EcoWorld menokok RM0.005 kepada RM0.46. – DagangNews.com