UMW Group-Sirim meterai MoC bentuk kerjasama strategik dalam inovasi dan teknologi | DagangNews Skip to main content

UMW Group-Sirim meterai MoC bentuk kerjasama strategik dalam inovasi dan teknologi

 UMW Group-Sirim meterai MoC bentuk kerjasama strategik dalam inovasi dan teknologi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - UMW Group menerusi anak syarikatnya iaitu UMW Innovation and R&D Centre Sdn. Bhd. (UIRDC) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Sirim Berhad (Sirim) bagi membentuk kerjasama strategik dalam bidang inovasi dan teknologi.

 

Melalui kerjasama itu, UMW Group meletakkan sasaran untuk memupuk kemajuan teknologi melalui Pusat Inovasi dan Teknologi Perindustrian Sirim.

 

Antara bidang utama yang berpotensi dalam kerjasama tersebut adalah Pembuatan Pintar, Nanoteknologi, Industri Bioteknologi serta aspek pengujian, pemeriksaan dan pensijilan.

 

Kerjasama strategik itu turut merangkumi penyelidikan industri saintifik, penyediaan perkhidmatan pemindahan teknologi dan perkhidmatan rundingan dan pembangunan standard baharu Malaysia.

 

Sehubungan itu, UMW Group mendapat kelebihan untuk mengakses kepakaran Sirim dalam aspek pengembangan standard yang menjadi keutamaan inovasi teknologi 
dalam pelbagai industri.

 

Kedua-dua pihak juga akan menjalinkan kerjasama dalam kepakaran teknikal dan latihan yang akan membawa kepada pelaksaan projek serta pengkomersialan produk.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama itu antara lain akan memberi platform kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang yang berpotensi seperti Industri 4.0, pembuatan mesin dan peralatan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi alam sekitar.

 

"Melalui UIRDC, kami harap dapat bekerja dengan industri dan pihak berkepentingan yang relevan bagi menyediakan rundingan dan bantuan teknikal berkaitan teknologi, mengesyorkan cadangan dan rancangan intervensi bagi memelihara industri hulu, tengah dan hiliran.

 

"Bidang yang dapat kita terokai termasuk penyelesaian berkaitan Industri 4.0 dan teknologi saringan air untuk penggunaan industri dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis menandatangani MoC secara maya itu melibatkan Datuk Dr. Ahmad Sabirin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

 

Mengulas kerjasama itu, Datuk Ahmad Fuaad berkata, dengan menilai kepada situasi pasaran semasa, keperluan untuk terus berdaya saing dan terus relevan memerlukan kepada inovasi yang berterusan dalam setiap entiti.

 

"UMW berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sirim bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mempercepatkan usaha inovasi.

 

"Selain itu, ia juga akan membantu kita untuk meningkatkan produk dan proses serta daya saing yang lebih tinggi dalam perniagaan.

 

"Kami mengharapkan kerjasama ini akan memberi peluang kepada UMW untuk memanfaatkan kemampaun Sirim dalam usaha mempercepatkan inovasi dan pengkomersialan produk kami," tambahnya lagi. - DagangNews.com