Untung bersih Ambank melonjak 35.6% kepada RM435.40 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ambank melonjak 35.6% kepada RM435.40 juta bagi 2QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Untung bersih AMMB Holdings Berhad meningkat 35.6% kepada RM435.40 juta bagi 2QFY23 berbanding RM321.04 juta pada tahun lalu.

 

Keuntungan itu didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi serta pengembangan margin faedah bersih manakala pendapatan Ambank bagi suku tersebut meningkat kepada RM1.18 bilion daripada RM1.12 bilion tahun lepas.

 

Bagi kumulatif enam bulan, Ambank mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM854.60 juta berbanding RM707.64 juta berdasarkan hasil RM2.35 bilion berbanding RM2.36 juta tahun lepas.

 

Pendapatan faedah bersih bagi tempoh itu meningkat 10.4% tahun ke tahun meningkatkan margin faedah bersih kepada 2.17%.

 

Kumpulan itu merekodkan caj penjejasan yang lebih rendah sebanyak RM266.9 juta bagi tempoh tersebut ia termasuk kemerosotan RM116 juta bagi jenama Kunia, perhubungan ejen dan aset AmGeneral Insurance Berhad yang lain, berbanding RM377.1 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bukan faedah menyusut 24.5% disebabkan oleh pelupusan AmGeneral dan pendapatan yuran yang lebih rendah daripada perbankan pelaburan dan pengurusan kekayaan.

 

Bagi tempoh tersebut, kumpulan merekodkan kerugian pelupusan sekali sebanyak RM49.7 juta selepas ditolak aset bersih yang dilupuskan termasuk muhibah, penjejasan aset tidak ketara AmGeneral dan perbelanjaan urus niaga.

 

Katanya, kumpulan itu menerima wang tunai RM286.9 juta yang meningkatkan ekuiti biasa Tahap-1 sebanyak 0.25% dan juga mengekalkan 30% kepentingan ekuiti dalam perniagaan gabungan AmGeneral dan Liberty Mutual Insurance Berhad bernilai RM958.2 juta.

 

“Kumpulan itu melaporkan pertumbuhan merentasi segmen perniagaannya, diwakili oleh peningkatan 3.6% dalam pinjaman kasar dan pembiayaan kepada RM124.4 bilion.

 

"Deposit pelanggan berjumlah RM121 bilion dengan peningkatan 2.1% dalam deposit manakala akaun simpanan akaun semasa turun 7.6% kepada RM39.8 bilion, berikutan pengurangan dalam perbankan borong," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, keputusan itu mencerminkan usaha mereka dalam mengukuhkan pegangan pasaran sambil menguruskan aset berkualiti. 

 

Beliau berkata, pembangunan bank itu didorong oleh aktiviti ekonomi yang kukuh disertai dengan kemasukan pelaburan asing dan permintaan domestik serta asing yang lebih kukuh.

 

"Kami meramalkan faktor-faktor ini menyokong momentum pertumbuhan ekonomi kami dengan baik sehingga 2023. 

 

"Kami gembira melihat pertumbuhan yang konsisten dalam prestasi kami, didorong oleh asas kukuh dan komitmen kami terhadap kecemerlangan," katanya. - DagangNews.com