KUALA LUMPUR 17 Ogos - Untung bersih Formosa Prosonic Industries Berhad menyusut kepada RM26.3 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM32.5 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu merekodkan hasil jualan yang lebih rendah sebanyak RM176.2 juta, susut 29.8% daripada suku yang sama tahun sebelumnya sebanyak RM251.1 juta terutamanya disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah.
"Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (6MFY23) kumpulan itu merekodkan jualan yang lebih rendah sebanyak RM285.5 juta, penurunan sebanyak 43.3% daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya sebanyak RM503.2 juta terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah.
"Keuntungan bagi tempoh itu juga susut kepada RM36.05 juta berbanding RM53.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Formosa Prosonic menjangkakan mereka terus berdepan prospek mencabar kesan tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah selain pelarasan inventori dalam pasaran.
Kumpulan itu akan terus memantau persekitaran dengan teliti dan mengambil langkah perlu bagi mengurangkan sebarang kesan buruk selain mengoptimumkan operasinya.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Lembaga Pengarah menjangkakan kumpulan akan mencapai keputusan yang menguntungkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," katanya. - DagangNews.com