Untung bersih Ibraco meningkat 136.9% kepada RM13.2 juta pada 2QFY23 disokong pertumbuhan hasil yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ibraco meningkat 136.9% kepada RM13.2 juta pada 2QFY23 disokong pertumbuhan hasil yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Untung bersih Ibraco Berhad mencatatkan peningkatan sebanyak 136.9% kepada RM13.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM5.6 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM89.4 juta berbanding RM70.7 juta pada 2QFY22.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan luar biasa itu disokong oleh peningkatan 26.4% dalam hasil dan sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada pembangunan hartanah bagi suku tahun tersebut.

 

Katanya, penambahbaikan ketaraitu disebabkan oleh pembersihan inventori dan kadar pengambilan yang luar biasa serta pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada pejabat kedai komersial NorthBank. 

 

Kumpulan itu juga berkata, pembangunan berterusan dan kos jualan yang lebih rendah.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Chew Chiaw Han berkata, pihak pengurusan yakin keputusan kewangan mereka akan bertambah baik pada suku akan datang berdasarkan kepada kadar pengambilan yang baik daripada projek pembangunan hartanah sedia ada serta projek baharu dilancarkan di perbandaran Samarahan baharu dan Petaling Jaya.

 

“Selain itu, buku pesanan tinggi yang diperoleh oleh cabang pembinaan kumpulan juga dijangka menyumbang secara positif kepada keputusan kewangan yang akan datang 

 

"Berdasarkan kejayaan ini, kami kekal fokus untuk mengembangkan buku pesanan pembinaan kami secara progresif melalui usaha aktif kami dalam mendapatkan tender projek infrastruktur utama di Sarawak," katanya.

 

Sehingga 30 Jun 2023, jualan kumpulan yang belum dibilkan dan buku pesanan tertunggak masing-masing berjumlah RM267.3 juta dan RM922.2 juta berserta buku pesanan aktif sebanyak RM500 juta. - DagangNews.com