Untung bersih LB Aluminium pada FY24 susut 24.5% kepada RM29.3 juta kesan margin rendah segmen perniagaan aluminium | DagangNews Skip to main content

Untung bersih LB Aluminium pada FY24 susut 24.5% kepada RM29.3 juta kesan margin rendah segmen perniagaan aluminium

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Untung bersih LB Aluminium Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24) menyusut 24.5% kepada RM29.3 juta berbanding RM38.7 juta pada tahun sebelumnya kesan daripada margin rendah dalam segmen perniagaan aluminium.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi FY24 bagaimanapun meningkat kepada RM955.5 juta berbanding RM777.8 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Bagi FY24, segmen perniagaan aluminium kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM652 juta berbanding RM665.8 juta pada tahun sebelumnya disebabkan purata harga jualan yang lebih rendah.

 

"Segmen hartanah kumpulan bagaimanapun mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM303.5 juta berbanding RM111.9 juta daripada projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan PSV 1 Residences @ Platinum South Valley disebabkan jualan terkumpul yang dicapai serta kemajuan kerja," katanya. 

 

Kumpulan itu berkata, bagi suku keempat berakhir 30 April 2024 (4QFY24), untung bersih mereka meningkat kepada RM9.4 juta berbanding RM5.8 juta pada tahun sebelumnya didorong hasil lebih tinggi sebanyak RM273.6 juta berbanding RM184.8 juta pada 4QFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, segmen aluminium menanggung kos bahan mentah yang lebih tinggi disebabkan oleh turun naik baru-baru ini dalam harga aluminium global dan ringgit yang berterusan lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan peningkatan kos input. 

 

Katanya, ringgit yang lemah menandakan margin eksport kumpulan, kerana kebanyakan jualan eksport adalah dalam dolar AS.

 

"Kami akan terus memantau dengan teliti kos operasi dan harga jualan kami untuk mengekalkan margin kami," katanya.

 

Sementara itu, kumpulan itu berkata, bagi segmen hartanah, jualan terkumpul untuk SASaR dan PSV 1 Residences pada 30 April 2024 masing-masing adalah 97.9% dan 76.6%, manakala kemajuan pembinaan kumulatif adalah 57.2% dan 32.9% masing-masing.

 

"Projek-projek akan terus menyumbang secara positif kepada kumpulandan apabila mencapai jualan yang lebih tinggi," katanya.- DagangNews.com