Untung bersih MBSB meningkat 12.91% kepada RM83.7 juta pada suku kedua berbanding RM74.1 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MBSB meningkat 12.91% kepada RM83.7 juta pada suku kedua berbanding RM74.1 juta pada suku pertama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak 12.91% kepada RM83.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM74.1 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini (1QFY23).

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu didorong peningkatan jumlah pendapatan dan penghapusan jangkaan kerugian kredit (ECL). 

 

Katanya, deposit kumpulan meningkat sebanyak 5.54% kepada RM40 bilion pada suku berkenaan berbanding RM37.9 bilion pada suku sebelumnya.

 

Pada asas tahun ke tahun, deposit meningkat 9.67% daripada RM36.5 bilion pada suku kedua tahun lalu.

 

Komposisi akaun semasa dan simpanan (CASA) kumpulan daripada pendeposit runcit meningkat sebanyak 12% kepada 55% pada suku kedua tahun ini berbanding 43% pada suku pertama.

 

MBSB
Rafe Haneef

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, pihaknya gembira melihat peningkatan dalam keuntungan bersih suku ini yang mencerminkan trajektori positif dan impak strategi fokus kumpulan.

 

"Pada 2QFY23 kami melihat pertumbuhan yang stabil dalam deposit, di mana tahun ke tahun ia meningkat sebanyak 9.67% dan setiap suku tahun, ia meningkat sebanyak 5.54%.

 

"Kami berharap dengan dorongan konsisten kempen deposit kami, pelanggan akan mengenali daya saing tawaran kami dan akan terus melanggan produk CASA-i MBSB Bank," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pulangan ke atas ekuiti (ROE) MBSB berada pada 3.58%, meningkat 0.19% daripada 3.39% pada 1QFY23 manakala pulangan atas aset (ROA) meningkat kepada 0.57% pada 2QFY23 daripada 0.54% pada 1QFY23.

 

Peringkat ekuiti biasa (CET-1) berada pada 18.92% pada 2Q23, disebabkan oleh aset berwajaran risiko yang lebih tinggi hasil daripada pertumbuhan aset, manakala nisbah perlindungan mudah tunai kumpulan adalah pada 193.37% pada 2QFY23 yang jauh melebihi keperluan minimum kawal selia.

 

MBSB berkata, nisbah impak kasarnya (GIR) meningkat kepada 6.6% pada 2Q23 daripada 7.0% pada 1Q23 disebabkan usaha pemulihan dan pertumbuhan pembiayaannya.

 

Sementara itu, pembiayaan kasar kumpulan meningkat sebanyak 4.5% kepada RM40.3 bilion disumbangkan oleh segmen pengguna (3.8%) dan perbankan korporat/komersial (meningkat 6.3%). - DagangNews.com