Untung bersih MyEG melonjak kepada RM111.56 juta pada 2QFY23 didorong peningkatan hasil | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MyEG melonjak kepada RM111.56 juta pada 2QFY23 didorong peningkatan hasil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih MyEG Services Berhad melonjak 25.85% kepada RM111.56 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) daripada RM88.64 juta setahun lalu, disokong oleh peningkatan keseluruhan hasil daripada perkhidmatan sedia adanya.

 

Syarikat itu berkata, margin yang lebih tinggi menggantikan kekurangan sumbangan hasil daripada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin.

 

Katanya, pendapatan itu juga didorong oleh pengiktirafan sekali sahaja bagi keuntungan nilai saksama dalam pelaburan hasil daripada penyenaraian pelaburannya dalam Agmo Holdings Berhad, sumbangan daripada perkhidmatan yang baru dilancarkan daripada platform blockchain Zetrix, serta sumbangan daripada penjualan token Zetrix.

 

Perolehan MyEG juga meningkat 14.27% kepada RM184.88 juta daripada RM161.79 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan, keuntungan bersih MyEG meningkat 25.53% kepada RM217.49 juta daripada RM173.26 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 10.67% kepada RM358.09 juta daripada RM323.56 juta.

 

Mengenai prospek, MYEG menjangka untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu, khususnya blockchain atau Web 3.0, di Malaysia dan juga di peringkat global, untuk memacu pertumbuhan organiknya bagi anggaran FY23.

 

"Dengan platform blockchain Layer 1 iaitu Zetrix yang datang dalam talian, terdapat potensi besar untuk MyEG untuk mengkomersialkan perkhidmatan inovatif apabila Web 3.0 mula diterima pakai secara meluas.

 

"Selain itu, Zetrix juga telah disepadukan dengan platform blockchain nasional China, iaitu 'Xing Huo' yang akan membolehkan kemudahan perdagangan rentas sempadan berlaku dan ia akan menjadi penerokaan syarikat ke pasaran global," katanya.

 

Lembaga pengarah syarikat optimistik dengan berhati-hati bahawa prospek jangka panjang MyEG kekal positif ketika kami terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan juga di peringkat global.- DagangNews.com