Untung bersih Sedania melonjak 3 kali ganda kepada RM1.6 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sedania melonjak 3 kali ganda kepada RM1.6 juta pada 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sedania Innovator Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak tiga kali ganda kepada RM1.6 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM530,000 pada tahun sebelumnya.

 

Hasil pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 34% kepada RM12.2 juta pada 2QFY23 berbanding RM9.1 juta setahun yang lalu berikutan sumbangan yang lebih tinggi dari segmen tenaga mampan dan teknologi kewangan (fintech).

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pihaknya gembira untuk merekodkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku berkenaan dan membolehkan mereka mencatatkan keuntungan untuk tiga tahun berturut-turut.

 

"Rekod prestasi perniagaan yang memberangsangkan sekali lagi ini memberikan kami potensi yang baik dalam rancangan perpindahan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam dua tahun akan datang," katanya adlam satu kenyataan, hari ini.

 

Azrin berkata, segmen penjagaan kesihatan mampan kumpulan akan terus memacu perniagaannya ke hadapan dengan meneroka ke negara-negara baru yang berpenduduk tinggi dengan jenama Offspringnya, yang kini terdapat di 26 negara.

 

Beliau berkata, segmen penjagaan kesihatan mampan mencatatkan hasil segmen RM7.6 juta pada 2QFY23, disokong oleh permintaan lebih tinggi untuk produk penjagaan kesihatan mesra alam di pasaran antarabangsa utama di Asia dan Eropah.

 

Katanya, prospek pertumbuhan bagi segmen fintech akan berkembang secara eksponen, dipercepatkan oleh perkongsian hibah digital dengan syarikat bersekutunya, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe).

 

"Kerjasama dengan Wasiyyah Shoppe membolehkan kami meneroka pasaran pinjaman hartanah Islam bernilai kira-kira RM200 bilion. 

 

"Dengan kadar pelaksanaan hibah di kalangan umat Islam di Malaysia pada tahap yang masih rendah iaitu 0.2%, potensi pertumbuhan perniagaan ini adalah besar," katanya.

 

Segmen fintech mencatatkan pertumbuhan untung kasar segmen terbesar, melonjak sebanyak 50.7% tahun demi tahun kepada RM1.8 juta pada 2QFY23 didorong oleh lonjakan trafik daripada platform Tawarruq dan Go Halalnya.

 

Segmen tenaga mampan pula menunjukkan peningkatan hasil segmen yang ketara, dengan hasil pendapatan melonjak berlipat ganda kepada RM2.4 juta dalam 2QFY23 berbanding RM100,000 setahun yang lalu.

 

Prestasi positif ini disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap aset kontrak di bawah Kontrak Prestasi Tenaga dengan pelanggan utama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert menambah berkata, kami akan terus mengiktiraf lebih banyak hasil bagi kerja yang dilakukan untuk pelanggan telekomunikasi pada suku tahunan berikutnya.

 

"Prestasi perniagaan Sustainable Energy di masa hadapan juga didorong oleh prospek projek tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga kami, serta kontrak-kontrak baru yang mungkin diperolehi dalam tahun ini," katanya.- DagangNews.com