Untung bersih Uzma meningkat kepada RM11.4 juta bagi 4QFY23 didorong sumbangan hasil baharu daripada perdagangan LNG | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Uzma meningkat kepada RM11.4 juta bagi 4QFY23 didorong sumbangan hasil baharu daripada perdagangan LNG

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Untung bersih Uzma Berhad meningkat kepada RM11.4 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) berbanding RM5.02 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat kepada RM126.7 juta bagi suku berkenaan berbanding RM108.8 juta bagi 4QFY22.

 

Peningkatan hasil kumpulan sebanyak RM17.8 juta atau 16.4% bagi suku semasa berbanding tahun lalu disebabkan oleh sumbangan baharu aliran hasil daripada perniagaan dan hasil perdagangan dalam Gas Asli Cecair (LNG) daripada segmen minyak & gas (O&G) pada suku semasa.

 

"Bagi suku semasa dalam tinjauan, kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM6.4 juta atau 127.6% disebabkan oleh sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada O&G," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, tinjauan ekonomi global kekal mencabar dalam menghadapi kadar faedah yang melambung tinggi dan kredit bank yang lebih ketat.

 

Katanya, penggunaan minyak diunjur meningkat terutama melibatkan perjalanan udara, penjanaan kuasa dan peningkatan aktiviti petrokimina China. 

 

"Secara keseluruhannya, harga minyak dijangka meningkat berikutan unjuran permintaan petrol yang lebih tinggi dan bekalan yang lebih ketat," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya akan mempercepatkan usaha bagi mempelbagaikan dan mengimbangi porfolio mereka di luar sektor O&G.

 

Katanya, mereka akan menceburi bidang pertumbuhan utama baharu seperti tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pendigitalan & teknologi.

 

"Lembaga pengarah kekal yakin dengan berhati-hati untuk kekal berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa masa yang tidak menentu ini, dan kami percaya bahawa komitmen terhadap pelaksanaan pelan strategik kami akan terus memacu kumpulan ke arah pertumbuhan yang mampan," katanya. - DagangNews.com