Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Mei - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Mr D.I.Y. Group (M) Berhad dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM4.36 daripada RM3.95.
Ini selepas kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21) iaitu RM124.1 juta yang melebihi jangkaan daripada kebanyakan firma penyelidikan termasuk CGS-CIMB.
Penganalisisnya, Syazwan Aiman Sobri turut meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) sebanyak 7.4% hingga 8.5% untuk FY21 hingga FY23 setelah mengambil kira purata hasil yang kukuh bagi setiap kedai Mr D.I.Y.
“Kami percaya purata hasil setiap kedainya yang lebih kukuh daripada jangkaan dipacu oleh cadangan nilai kepada wang yang kukuh.
“Kami percaya format kedai Mr D.I.Y masih lagi menjadi penyumbang utama, di mana merangkumi kira-kira 90% daripada jumlah pangkalan kedainya setakat 1Q21.
“Purata hasil setiap kedai bagi 1Q21 meningkat dengan stabil iaitu 30.7% dan 5.8%, masing-masing bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q), berdasarkan ramalan kami,” jelas Syazwan Aiman dalam nota kajiannya.
Selain kedai Mr D.I.Y, kumpulan itu turut menumpukan kepada pengembangan format baharu iaitu Mr TOY dan Mr DOLLAR.
Syazwan Aiman percaya jumlah pelancaran kedai-kedai itu akan bertambah baik menjelang beberapa suku tahun akan datang.
Beliau melihat prospek pertumbuhan kukuh, potensi dimasukkan ke dalam indeks-indeks FBM KLCI dan MSCI serta prestasi rekod baik menjadi pemangkin positif kepada penilaian semula saham Mr D.I.Y.
Namun, risiko penurunan pula termasuk jualan yang lebih lemah daripada jangkaan, kos operasi lebih tinggi dan sekatan pergerakan yang lebih ketat selepas 1Q21, tambah Syazwan Aiman.
Sebagai rekod, keuntungan bersih Mr D.I.Y bagi 1Q21 melonjak 115.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, sekali gus mengisytiharkan dividen sesaham sebanyak 8 sen.
Setakat 11.42 pagi, nilai saham Mr. D.I.Y. menyusut 10 sen kepada RM3.89. - DagangNews.com