Untung sebelum cukai 4Q20 Duopharma Biotech meningkat 47% kepada RM20.47 juta | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai 4Q20 Duopharma Biotech meningkat 47% kepada RM20.47 juta

Duopharma Biotech

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Syarikat perindustrian farmaseutikal, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mengukuhkan kedudukan perniagaan apabila mencatatkan untung sebelum cukai belum diaudit lebih tinggi berjumlah RM20.47 juta pada suku keempat.

 

Jumlah tersebut meningkat 47% berbanding RM13.94 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Duopharma Biotech berkata, kejayaan memberangsangkan itu dicapai berasaskan hasil suku tahunan tidak teraudit berjumlah RM134.09 juta (2019: RM137.76 juta).

 

"Selepas mengambil kira cukai, untung bersih bagi suku tahun yang dilaporkan berjumlah RM16.19 juta (2019: RM12.03 juta), seterusnya menghasilkan untung bersih keseluruhan sebanyak RM58.61 juta bagi tahun kewangan penuh 2020 (2019: RM55.27 juta).

 

"Hasilnya, pendapatan sesaham meningkat kepada 8.46 sen bagi tahun yang dilaporkan, daripada 8.25 sen sebelum ini," jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua 6.0 sen (2019: dividen akhir 5.0 sen sesaham) bersamaan RM42.36 juta (2019: RM 34.22 juta). 

 

Lembaga Pengarah membuat keputusan bahawa Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) yang diluluskan oleh pemegang saham akan diguna pakai untuk dividen tersebut. 

 

Leonard Ariff Abdul Shatar
Leonard Ariff Abdul Shatar

 

Harga terbitan saham biasa baharu dalam syarikat di bawah DRP telah ditetapkan pada RM3.08 sesaham baharu Duopharma Biotech Berhad.

 

Harga terbitan memberikan diskaun kira-kira 10% daripada harga pasaran purata wajaran jumlah dagangan 5 hari selepas dividen (VWAMP) yang bernilai RM3.42.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, prestasi lebih kukuh itu dicapai hasil pelbagai inisiatif dan langkah untuk menampung kos operasi.

 

 

Beliau turut memaklumkan dua perkembangan yang dianggap positif bagi Duopharma Biotech iaitu;

  • Lanjutan Tempoh Kontrak Perjanjian Dagangan bagi Pembekalan dan Penghantaran Produk Insulin Manusia kepada Kerajaan untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 2 Disember 2020 sehingga 1 Disember 2021 dengan nilai kontrak tambahan RM19,625,100. 
  • Tempoh kontrak bagi Perjanjian Pembekalan untuk membekalkan produk farmaseutikal dan/atau bukan farmaeutikal kepada hospital, klinik dan kemudahan lain di bawah Kerajaan Malaysia telah dilanjutkan selama dua puluh lima bulan, dari 1 Disember 2019 sehingga 31 Disember 2021.

 

 

Jelas beliau, pelanjutan kontrak itu satu perkembangan positif bagi Duopharma Biotech Berhad yang sekali gus menstabilkan sebahagian besar daripada hasil kumpulan.

 

"Dengan jaminan hasil ini, kami berada pada kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan sumber bagi menggiatkan penceburan ke dalam produk terkhusus dan khas," tambah beliau. - DagangNews.com