Usah mudah gelap mata, elak perangkap scammer jadi keldai akaun | DagangNews Skip to main content

Usah mudah gelap mata, elak perangkap scammer jadi keldai akaun

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

LEBIH 25,000 kes jenayah penipuan dalam talian dicatatkan sepanjang 2022 membabitkan kerugian kira-kira RM850 juta dengan antara faktor penyumbang kepada kegiatan itu adalah kewujudan akaun keldai atau lebih dikenali sebagai 'mule account'.

 

Menurut Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Mustafar Ali, faktor yang menyebabkan jumlah kerugian akibat sindiket penipuan dalam talian adalah kewujudan akaun keldai yang 'dibeli' dengan tawaran RM500 seorang kepada pemilik asal akaun itu untuk memindahkan wang haram.

 

Modus operandinya mudah, wang mangsa yang telah ditipu akan dimasukkan ke dalam akaun keldai dan akan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain sebelum akhirnya dikeluarkan dalam tempoh yang singkat menyebabkan ia sukar dijejaki.

 

Keldai akaun merujuk kepada individu yang menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya serta nombor pengenalan peribadi (PIN) kad tersebut kepada individu lain dan akaun tersebut pula digunakan bagi tujuan jenayah.

 

Sindiket yang melakukan jenayah ini dilihat sangat bijak dan licik dalam mengenal pasti kumpulan sasaran mereka yang boleh dijadikan sebagai keldai akaun.

 

Hasil siasatan pihak berkuasa selama ini mendedahkan, orang lembam, penagih dadah, pesara, mereka yang mempunyai rekod lampau dengan bank, individu yang sedang mencari pekerjaan, tiada pekerjaan tetap, suri rumah, pesara, golongan mahasiswa dan pekerja sosial merupakan ciri-ciri individu yang menjadi sasaran utama sindiket terbabit.


 

parafrasa

 


Golongan ini dikatakan menjadi sasaran mudah berikutan keinginan untuk mendapatkan wang dengan senang serta pantas, selain tidak mempunyai pendapatan tetap, terdesak mahu menggunakan wang dan terpedaya.

 

Bermakna, mereka menyasarkan individu yang mempunyai pelbagai masalah kewangan dan tawaran wang atau pendapatan ekspres menjadi umpan yang sangat berkesan.

 

Justeru untuk elak menjadi mangsa sindiket terancang ini, anggota masyarakat terlebih dahulu perlu peka dan memahami taktik modus operandi yang sering mereka gunakan untuk memujuk dan memerangkap mangsa menjadi keldai akaun.

 

Antara taktik licik sindiket ini ialah, mangsa yang disasarkan akan dipujuk untuk menyerahkan kad ATM dan nombor pin kepada sindiket dengan beberapa tujuan seperti kononnya membantu urusan perniagaan, mangsa dipujuk menyerahkan kad ATM dan nombor pin kepada pemberi pinjam wang haram atau along dengan tujuan kononnya untuk membuat potongan bayaran bulanan.


 

parafrasa
Car​​​a terbaharu scammer mendakwa kononnya syarikat penghantar barang. Berhati-hatilah!



Ada juga situasi di mana mangsa membuat pengiklanan penjualan barang menerusi internet dan 'pembeli' menggunakan akaun milik suspek untuk memasukkan wang curi dari mangsa lain.

 

Selain itu, sindiket juga menggunakan kad ATM dan butiran peribadi daripada hasil ragut atau samun dompet/telefon bimbit di mana kebanyakan mangsa tidak membuat laporan polis setelah kehilangan barangan berkenaan.

 

Sindiket juga menawarkan kepada mangsa menerusi laman sosial perkhidmatan sewa kad ATM dan akaun bank kononnya untuk tujuan perniagaan, mangsa diberikan bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 untuk setiap kad yang disewa.

 

Duit antara RM250 hingga RM550 pula ditawarkan untuk kad yang dijual dan mangsa juga dipujuk oleh rakan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin dengan alasan menerima wang dari pihak ketiga.

 

Ironinya hanya tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat mampu mengekang sindiket yang bijak mengambil peluang memerangkap dan memanipulasi mangsa menjadi keldai akaun.

 

Misalnya, anggota masyarakat tidak boleh sama sesekali mendedahkan maklumat bank dan maklumat peribadi yang lain kepada pihak yang tidak dikenali untuk apa tujuan sekalipun.

 

Jika didapati ada jumlah wang tertentu dimasukkan ke akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segera semak dengan pihak bank.


 

parafrasa

 


Jika ada pihak yang menghubungi kita dan memaklumkan ada berlaku kesilapan pindahan wang dan meminta kita lakukan pindahan balik, jangan lakukan.

 

Pihak berkuasa juga sering mengingatkan agar jangan terima apa-apa tawaran untuk membantu memindahkan wang ke akaun tertentu lebih-lebih lagi dari pihak yang tidak dikenali dan jangan sesekali serah kad ATM, nombor pin dan akses perbankan internet kepada pihak luar.

 

Ringkasnya maklumat bank kita biarlah rahsia dan tidak perlu didedahkan atau diserahkan kepada orang lain walau dalam apa keadaan sekalipun.

 

Sindiket keldai akaun ini tidak akan berputus asa dan mereka akan sentiasa berusaha mencari taktik baharu untuk memerangkap mangsa.


 

parafrasa

 


Jika ada yang telah menjadi mangsa atau dihampiri oleh ahli sindiket segeralah melaporkan kepada pihak berkuasa. Sama-samalah kita ambil peringatan dan iktibar dengan apa yang didedahkan oleh pihak berkuasa ini.

 

Jangan mudah gelap mata dengan ganjaran yang ditawarkan, jangan biarkan diri kita diperangkap menjadi keldai akaun oleh sindiket ini dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga. - DagangNews.com

 

 

Noor Mohamad Shakil Hameed adalah Timbalan Pengarah Pusat KoKurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia