Usaha memerangi rokok seludup perlu digandakan | DagangNews Skip to main content

Usaha memerangi rokok seludup perlu digandakan

Oleh Pankaj Kumar
Penganalisis Pelaburan dan Ekonomi

 

 

BELANJAWAN 2021 dilihat sebagai langkah pertama dalam suatu proses yang panjang bagi Malaysia dalam memperbetulkan pendekatan menangani isu tembakau seludup. Tembakau seludup adalah masalah yang menghantui Malaysia sejak sekian lama dan membentuk bahagian penting dalam ekonomi bayangan.

 

Ekonomi gelap, yang dianggarkan sebanyak 18.2% daripada KDNK Malaysia atau bersamaan dengan nilai RM275 bilion, perlu ditangani memandangkan negara kehilangan jumlah yang besar dari segi pendapatan cukai.

 

Berdasarkan kepada pendapatan cukai kerajaan sebagai peratusan daripada KDNK nominal sebanyak 11%, ia diterjemahkan kepada RM30 bilion, mengikut data terkini. Sebagai peratusan daripada pendapatan kerajaan sebanyak RM236.9 bilion seperti yang telah diumumkan pada Belanjawan 2021, yang diterjemahkan kepada kira-kira 12.7%. Ini bukanlah jumlah yang kecil yang boleh diabaikan.

 

Bagi industri tembakau, Belanjawan 2021 telah bertindak betul dengan menangani isu yang dihadapi oleh industri dan ini termasuklah membeku pengeluaran lesen baru bagi pengimportan rokok dan menetapkan pelabuhan khas melalui kontena ISO untuk aktiviti penghantaran.

 

Pankaj Kumar
Pankaj Kumar

 

Langkah-langkah ini dialu-alukan oleh industri kerana dilihat sebagai langkah pantas yang boleh dilakukan untuk menangani trend perdagangan haram yang semakin meningkat ini. Dengan langkah-langkah yang diumumkan itu, diharapkan kerajaan dapat menangani isu-isu berkaitan dengan perdagangan haram ini dengan lebih berkesan serta menyediakan peluang sama rata kepada pemain industri tembakau sedia ada yang mematuhi peraturan.

 

Walaubagaimanapun, untuk mengklasifikasi produk rokok dan tembakau yang dijual di semua pulau bebas cukai dan zon bebas sebagai barangan yang boleh dikenakan cukai, dilihat sebagai tidak produktif kerana ia memberi impak kepada kawasan setempat yang akan kehilangan “daya penarik” kepada pelancong yang berkunjung ke destinasi pelancongan ini.

 

Selain itu, Menteri Kewangan dilihat menjadikan tembakau dan rokok sebagai sasaran sedangkan arak tidak dimasukkan dalam senarai barangan boleh dikenakan cukai bagi kedai-kedai ini.  Apakah sebab perkara ini tidak berlaku?

 

Pulau bebas cukai dan zon bebas adalah destinasi pelancongan dan dalam era Covid-19, perniagaan-perniagaan ini sudahpun terjejas teruk. Adalah tidak masuk akal yang kita akan menambah lagi keperitan mereka dengan mengenakan cukai ke atas barangan ini. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada aktiviti berkaitan pelancongan di tempat-tempat berkenaan, malahan kesan daripadanya juga termasuklah perdagangan haram yang boleh mengambil kesempatan daripada kelemahan cukai ini.

 

Pada masa ini, pasaran tembakau seludup hari ini melibatkan 65% daripada keseluruhan pasaran tembakau dan sekiranya usaha tidak dibuat untuk mengurangkan atau mengecilkan peningkatan yang tidak dijangka dalam perdagangan haram ini, Malaysia berisiko untuk dikecam kerana menjadi pusat bagi kegiatan haram.

 

Oleh itu, persoalannya, apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan seterusnya untuk menghentikan peningkatan trend perdagangan haram ini?

 

Bagi menjawab soalan ini, kita perlu memahami semula apa yang berlaku antara tahun 2013-2015 apabila duti eksais dinaikkan sehingga 40% yang menyebabkan kenaikan signifikan kepada harga runcit rokok.

 

Ini berkait dengan isu kemampuan memandangkan harga yang tinggi menyebabkan permintaan bagi produk seludup meningkat, sebahagian besarnya kerana lebih daripada 200% perbezaan harga antara jenama premium sah dengan alternatif yang diseludup.

 

Adalah jelas bahawa jenama premium dan malahan jenama bernilai yang dipasarkan secara sah tewas dengan rokok seludup dari segi harga sahaja. Oleh itu, ia telah menjadi insentif kepada perniagaan rokok yang diseludup dalam tempoh enam tahun, dengan peningkatan sehingga ke tahap 31 mata peratusan daripada 34% pada 2014 kepada 65% pada 2020.

   

Kemampuan juga adalah suatu isu yang berkait secara langsung dengan pendapatan masyarakat memandangkan demografik perokok adalah didominasi oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja kolar biru. Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) Malaysia sebulan adalah pada RM2,208 untuk 2019 dan sebanyak 5.6% isi rumah yang termasuk dalam kategori ini.

 

Manakala PLI Relatif adalah pada RM2,937 sebulan. Sekiranya sepaket rokok berharga RM17.40 dan jika seseorang menghisap 20 paket sebulan, jumlahnya adalah RM340 sebulan – atau bersamaan dengan 15.4% daripada PLI dan 11.6% daripada PLI Relatif.

 

Dengan tumpuan tinggi dalam perbelanjaan bagi sesetengah orang yang berpendapatan rendah, adalah semulajadi yang pelanggan akan meminta produk yang berharga lebih rendah daripada pasaran. Dan tidak hairanlah orang akan terdorong untuk membeli jika ia adalah lebih murah ataupun hanya sepertiga daripada kos.

 

Walaupun Belanjawan 2021 tidak menyebut tentang duti eksais yang tinggi pada masa ini, kerajaan perlu melihat semula kepada struktur duti bagi sektor ini di Malaysia. Pendapatan cukai melepas kepada kerajaan daripada tembakau seludup, dianggarkan sebanyak RM5 bilion setahun, adalah terlalu besar untuk diabaikan dan mestilah ditangani. Struktur duti yang lebih rendah akan mengecilkan perbezaan harga antara cukai yang dibayar penuh ke atas barangan yang dibekalkan dan barangan yang diseludup dan dijual oleh penjenayah terancang.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, terutamanya bagi sumber bekalan, Seperti yang sering dinyatakan, jika tiada bekalan, tiadalah permintaan. Lagipun, penjualan barangan tanpa membayar duti eksais adalah kesalahan di bawah undang-undang. Inilah masanya untuk bertindak, dan sekaranglah waktunya. - DagangNews.com