IPOH 8 Sept - Kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (Wanita Perak) mempelawa usahawan wanita negeri ini untuk menyertai Program e-Juwita negeri Perak.
Program bantuan pemasaran digital percuma selama sehari ini memberi peluang kepada 720 peserta melibatkan 24 parlimen di seluruh negeri ini.
Pelaksanaan program ini dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
STeP dalam kenyataan memaklumkan, objektifnya adalah untuk memberi pendedahan dan teknik yang betul dalam memasarkan produk usahawan wanita perak melalui platform digital.
Menurut kenyataan tersebut, para peserta akan didedahkan modul-modul yang relevan berkaitan keusahawanan meliputi asas Business Model Canvas, penjenamaan, pembungkusan dan promosi.
Turut didedahkan ialah penggunaan media sosial, kandungan pemasaran dan penjenamaan tanda dagangan.
"Penyertaan terbuka pada usahawan wanita perak termasuk peniaga, penjaja kecil atau di rumah yang berumur 18 hingga 60 tahun.
"Mereka mesti mempunyai lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berdaftar di negeri Perak dan masih sah," ujar kenyataan itu.
Peserta juga hendaklah mempunyai perniagaan beroperasi di negeri Perak serta produk dan perkhidmatan yang ingin dipasarkan melalui atas talian.
Penyertaan daripada peserta yang mempunyai asas pengetahuan dalam platform atas talian (pendigitalan) seperti boleh menggunakan telefon pintar dan telah mempunyai akaun emel.
Usahawan wanita Perak yang berminat boleh mengakses maklumat program menerusi pautan https://step.perak.my/sme/.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan terus kepada urus setia STeP menerusi talian 013-420 6264 dan 011-1250 3001. - DagangNews.com