Vaksinasi golongan dewasa di Lembah Klang cecah 105.9% | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi golongan dewasa di Lembah Klang cecah 105.9%

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kadar vaksinasi golongan dewasa di Lembah Klang terus mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 105.9% setakat 17 Ogos 2021.

 

Sebanyak 71.2% daripadanya berjaya melengkapkan dua dos suntikan.

 

.

 

Lembah Klang meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) berkata, peratusan yang melebihi 100% itu adalah kerana statistik kependudukan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tidak mengambil kira perubahan populasi sejak Banci akhir, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberi kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin.

 

.

 

Hingga semalam, peratusan kumulatif vaksinasi golongan dewasa di Malaysia meningkat kepada 74.5% atau 17.4 juta.

 

Seramai 11.4 juta atau 48.7% daripada telah menerima suntikan dua dos vaksin.

 

JKJAV dalam statistik harinnya memaklumkan bahawa jumlah kumulatif pemberian vaksin negara melonjak kepada 28.8 juta bagi tempoh sama.

 

Jumlah itu melibatkan 17.4 juta penerima vaksin dos pertama dan 11.4 juta penerima vaksin bagi dos kedua.

 

.

 

Dari segi populasi pula, peratusan populasi yang divaksin meningkat kepada 53.4%, sebanyak 34.9% daripadanya telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

 

Sementara itu, jumlah vaksinasi harian pula kembali meningkat kepada lebih 500,000 selama dua hari berturut-turut.

 

Sebanyak 525,111 dos berjaya diberi semalam di seluruh negara.

 

Jumlah itu terdiri daripada 184,972 pemberian dos pertama dan 340,139 pemberian dos kedua. - DagangNews.com