Wujudkan kategori pelabur pembiayaan awam bantu PKS | DagangNews Skip to main content

Wujudkan kategori pelabur pembiayaan awam bantu PKS

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Ahli perniagaan atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mempunyai idea baharu sering berdepan masalah untuk mendapatkan pembiayaan awam atau ‘crowdfunding’ dari pelabur. 

Ini berikutan persekitaran perniagaan Malaysia belum mewujudkan kategori pelabur pembiayaan awam yang menentukan tahap pelaburan buat PKS untuk memudahkan mereka mengembangkan idea yang ada. 

Penasihat kewangan merangkap Pengerusi Amanie Advisors Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, Malaysia mempunyai pasaran pelaburan utama termasuk Bursa Malaysia yang bertaraf tinggi, tetapi tidak meletakkan pelabur dalam kategori khas seperti kelas A dan kelas B.

 

Dr. Daud
Mohd. Daud Bakar

 

“Penting untuk mereka dibantu dalam aspek kewangan daripada pembiayaan, pembiayaan awam, rangkaian rakan ke rakan (P2P) dan mungkin di Malaysia kita belum mewujudkan budaya pelabur kelas A dan kelas B.

“Di Singapura malah Indonesia, mereka sudah mewujudkan budaya ini. Mereka menyokong idea yang diutarakan PKS. Sebagai contoh, pada kelas pelabur A, mereka meletakkan dana RM10 hingga RM100,000. Seterusnya mereka boleh menjual idea pula kepada pelabur kelas B sebanyak RM1 juta. Ini berlanjutan sehingga ke ekuiti awam dan seterusnya. 

“Jadi, ahli perniagaan kita sering berdepan isu ini. Sebelum mereka boleh pergi ke tahap (mendapatkan dana) agensi kerajaan, mereka memerlukan sokongan daripada pelabur kelas A dan B. Mungkin satu agensi atau platform boleh ditubuhkan untuk memulakan usaha ini,” katanya ketika dijemput sebagai salah seorang ahli panel pada eNational Export Day (eNED 2020) bertemakan ‘Transforming Crisis into Opportunities’.

 

Matrade
(DARI KIRI) Mohd. Abdul Karim Abdullah, Mohd. Daud Bakar, Nimal Manuel dan Ibrahim Sani pada eNED 2020 yang dianjurkan secara maya hari ini.

 

Turut dijemput sebagai ahli panel, Pengerusi Wawasan Open University, Tan Sri Andrew Sheng; Rakan Kongsi Utama dan Pengurusan McKinsey & Company Malaysia, Nimal Manuel; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah serta moderator jemputan, Ibrahim Sani.

Baca : Syarikat Malaysia digesa teroka pasaran eksport antarabangsa

Dalam pada itu, Mohd. Abdul Karim berkata, syarikat PKS perlu meluaskan operasi mereka dan bukan hanya berkembang di Malaysia, malah menguji pasaran antarabangsa.

Mohd. Abdul Karim Abdullah

“Walaupun (hanya) syarikat PKS, tetapi tidak bermakna hanya berkembang di Malaysia. Mereka memerlukan operasi yang lebih meluas kerana tidak dinafikan ketidaktentuan termasuk keadaan politik akan menjejaskan perniagaan.

“Saya sentiasa mengatakan bahawa rakyat Malaysia sangat beruntung dan dimanjakan kerana ada yang tidak mahu ke luar negara kerana pelbagai kelebihan ada di negara ini. Jika anda mempunyai kebolehan dan pengetahuan, kemahiran pertama yang perlu dilakukan adalah uji pasaran luar Malaysia.

“Percaya akan perkhidmatan atau produk anda boleh diterima pasaran luar, berfikir dengan pantas, cepat tarik peluang dan saya fikir dengan ini, PKS juga boleh berkembang lebih jauh. Setelah ‘menapak’ di pasaran global, mereka akan melihat banyak peluang yang ditawarkan,” jelasnya. - DagangNews.com