Xin Hwa ambil alih dua kilang bernilai RM14 juta milik Wiley Development di Ulu Tiram | DagangNews Skip to main content

Xin Hwa ambil alih dua kilang bernilai RM14 juta milik Wiley Development di Ulu Tiram

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Xin Hwa Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Micron Engineering Metal Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Wiley Development Sdn. Bhd. untuk mengambil alih dua unit kilang berkembang satu setengah tingkat bernilai RM14 juta di Ulu Tiram, Johor.

 

Kilang pegangan bebas itu memiliki keluasan masing-masing 24,063 kaki persegi.

 

Pertimbangan pembelian dibuat atas dasar "pembeli rela-penjual sanggup", selepas mengambil kira keadaan bangunan, harga tanah dalam kawasan yang sama dan kos yang dilakukan oleh pengurusan ke atas tanah dan bangunan berdasarkan harga transaksi pemaju.

 

"Pengambilan hartanah itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank pada kadar 15% : 85%," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sejumlah RM1.4 juta atau 10% daripada pertimbangan pembelian hendaklah dibayar oleh Micron Engineering kepada Wiley selepas pelaksanaan SPA.

 

Baki pertimbangan pembelian sebanyak RM12.6 juta hendaklah dibayar dilunaskan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA.

 

Kumpulan itu berkata, tujuan pengambilalihan kilang itu adalah untuk pengembangan kapasiti kilang Micron Engineering.

 

"Berdasarkan perkara di atas, lembaga pengarah berpendapat bahawa pengambilalihan hartanah itu akan menyumbang secara positif kepada operasi perniagaan dan pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya. - DagangNews.com