Syarikat peneraju pelaburan global, Kumpulan Syarikat Bin Zayed International (BZI) membuka pejabat terbaharu di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, menandakan penceburan sulungnya di Asia Tenggara.
Syarikat baharu ini, Bin Zayed International (M) Bhd, akan menjadi pangkalan utama operasi firma di rantau ini, meneroka peluang pelaburan lebih luas sambil menggiatkan pembangunan.
Peluasan operasi BZI ke Malaysia sesungguhnya menunjukkan potensi besar di rantau Asia Tenggara, yang dijangka kekal sebagai satu daripada ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dalam dekad akan datang.
Pada tahun 2023, ekonomi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan KDNK nominal mencecah AS$3.8 trilion.
Rantau ini dijangka menduduki tempat keempat di peringkat global menjelang tahun 2030. Selepas bertapak kukuh di pasaran-pasaran global utama, termasuk Eropah dan Timur Tengah, BZI kini berusaha untuk memacu pertumbuhan dan inovasi dalam persekitaran perniagaan Asia Tenggara yang dinamik.
“Kehadiran kami di Malaysia menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan kami daripada sebuah syarikat tempatan di Emiriah Arab Bersatu kepada kumpulan yang berkembang di peringkat global,” kata Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Syarikat Bin Zayed International.
“Memandangkan Asia Tenggara bakal muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi, kami bertekad untuk turut menjadi salah satu pihak berkepentingan di rantau ini dengan menyumbang kepada pertumbuhan ini dan memupuk kemakmuran yang meluas.”
Penubuhan entiti baharu BZI di Malaysia dirancang secara strategik untuk memanfaatkan lokasi utama Malaysia di rantau ini dan juga kekayaan sumbernya yang termasuk infrastruktur mantap, sambungan digital, tenaga kerja berkemahiran dan hubungan kukuh dengan negara-negara jiran.
Berbekalkan rangka kerja kawal selia yang kukuh dan kepakaran mendalam dalam pematuhan Syariah, Malaysia merupakan pemimpin antarabangsa dalam kewangan Islam, membolehkan firma ini memanfaatkan kumpulan pelanggan yang lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik ini, BZI telah komited untuk membawa masuk AS$2 bilion ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempercepatkan lagi aspirasi ekonomi negara.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Bin Abdul, yang berucap bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa usaha ini jelas memperlihatkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat kepada pelabur antarabangsa.
“Kami menyokong misi BZI untuk memacu pelaburan global ke Malaysia dan kawasan serantau yang lebih luas,” katanya semasa merasmikan gala pembukaan pejabat tersebut.
“Kerajaan bersedia untuk berganding bahu dengan Kumpulan sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani untuk mencorakkan masa depan yang lebih cerah bagi seluruh rakyat Malaysia.”
Ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Sheikh Khaled Zayed Saquer Al Nahyan, seorang ahli perniagaan terkemuka dan kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu, BZI adalah sebuah konglomerat global terkemuka dengan kepentingan perniagaan yang terpelbagai.
Kumpulan ini telah mempelopori pelaburan di berbilang benua, dengan melabur berbilion dolar AS merentasi pelbagai sektor termasuk pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.
Pembukaan BZI (M) Bhd telah diraikan dalam acara yang meliputi dua bahagian. Hari tersebut dimulakan dengan majlis pemotongan reben eksklusif yang dirasmikan oleh Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, diiringi oleh puteranya, Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nehayan.
Turut hadir ialah Sheikh Midhat Kidwai, Pengarah Urusan Kumpulan Bin Zayed; Dato’ Sri Dr. Shamir Kumar Nandy, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd; serta ahli-ahli Lembaga Pengarah BZI dan kakitangan utama yang lain.
Hari bersejarah ini disusuli oleh majlis malam gala pembukaan, menghimpunkan para pegawai kerajaan, tokoh industri dan tetamu kehormat asing, membuktikan kepentingan kehadiran firma tersebut di Kuala Lumpur.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Pengiran Muda Abdul Hakeem Ibni Jefri Bolkiah dari Brunei; Dr Betty Oyella Bigombe, Pesuruhjaya Tinggi Republik Uganda; Lada Phumas, Duta Besar Thailand, dan Thepthavone Sengmany, Duta Besar Laos.
Bintang filem terkenal Datuk Shah Rukh Khan yang turut hadir menyerikan majlis, yang mengucapkan tahniah kepada BZI atas pembukaan syarikatnya terbaharu.
“Komitmen mereka untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dan membina masa depan yang lebih cerah sememangnya patut dipuji. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha mereka untuk mencetus impak bermakna di seluruh dunia,” katanya.
Sambil menekankan komitmen firma kepada usaha membawa manfaat berkekalan kepada ekonomi serantau, Dato’ Sri Dr. Shamir Kumar Nandy, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd berkata: "Kami berhasrat untuk membina masa depan yang diimpikan oleh kita semua".
"Kami mencapai hasrat ini dengan menetapkan wawasan, dan berusaha gigih untuk mencapainya. Kami akan memberi tumpuan terhadap apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik berbanding mana-mana organisasi lain di dunia dan inilah cara kami membuka laluan kejayaan.
"Dalam dunia yang kian berubah, kami perlu meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya dan mempunyai fleksibiliti untuk berkembang maju dengan cara yang responsif dan relevan.” - DagangNews.com