Obesiti punca rawatan kesuburan IVF gagal, BMI pasangan mesti kekal 19-30 | DagangNews Skip to main content

Obesiti punca rawatan kesuburan IVF gagal, BMI pasangan mesti kekal 19-30

Bakal ibu dinasihatkan untuk terus mengutamakan cara hidup yang sihat sepanjang kehamilan bagi mengelak pelbagai komplikasi ketika bersalin.
Oleh Dr. Sharifah Najwa Syed Amin Husaini

Obesiti dikenal pasti sebagai antara penyebab kegagalan rawatan kesuburan melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam kalangan pasangan yang sedang berusaha untuk hamil  atau dikenali sebagai TTC (trying to conceive).

 

Berat badan berlebihan pasangan sama ada kepada ibu, bapa atau kedua-duanya mengurangkan kualiti telur dan sperma yang dihasilkan.

 

Obesiti adalah penyakit kronik kompleks yang memerlukan campur tangan perubatan secara betul.

 

Masalah obesiti tidak lagi dipandang sebagai kelemahan seseorang hingga mengundang stigma dan ‘body-shaming’.

 

Hakikatnya, obesiti menjadi wabak yang menjejaskan masyarakat kita dan meningkatkan risiko mendapat penyakit lain termasuk jantung, darah tinggi, kencing manis dan sehingga pada tahap tertentu berisiko kanser.

 

 

dr najwa
      Dr. Sharifah Najwa Syed Amin Husaini

 

 

Memandangkan Malaysia ‘menjuarai’ kedudukan negara paling ramai penduduk obes di Asia Tenggara, kebimbangan para pengamal perubatan tertumpu kepada peningkatan bilangan pasangan yang mengalami obesiti dalam mendapatkan rawatan kesuburan.

 

Kajian di seluruh dunia menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan hormon yang dipanggil leptin, yang dihasilkan dalam tisu lemak. Leptin mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan kesuburan berkurangan.

 

Dalam senario lain, wanita yang menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) juga mudah mengalami berat badan berlebihan hingga menghalang ovulasi atau tempoh subur.

 

Apabila pasangan mula menghadapi cabaran untuk hamil secara semula jadi, mereka beralih kepada rawatan kesuburan. Secara amnya, doktor mengesyorkan pasangan untuk mengekalkan indeks jisim badan (BMI) antara 19 dan 30.

 

Penghidap obesiti wanita yang menjalani IVF mungkin memerlukan dos gonadotropin lebih tinggi kerana ia memberi tindak balas lemah kepada rangsangan ovari, mengurangkan penuaian sel ‘oocyte’ dan menyukarkan penempelan embrio.

 

Sementara itu, penghidap obesiti lelaki didapati menghasilkan sperma yang kurang pekat dan tidak aktif. Akhirnya, simptom ini boleh merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sperma.

 

Pada masa sama, pasangan TTC digesa mengubah cara hidup masing-masing demi kesihatan mereka secara keseluruhannya sekali gus mampu meningkatkan peluang untuk hamil.

 

 

parafrasa
Prosedur sokongan reproduktif mewakili sebahagian besar pelaburan bagi pasangan TTC seluruh dunia

 

 

Pengurusan berat badan yang baik meletakkan kepentingan pada diet seimbang dengan pengambilan protein dan serat yang lebih tinggi, di samping mengurangkan pengambilan gula, tenusu, garam dan bahan-bahan yang diproses.

 

Ini diikuti dengan kekerapan melakukan aktiviti fizikal untuk membantu dalam penurunan berat badan sekali gus mengekalkan kesejahteraan umum.

 

Rawatan perubatan termasuk ubat anti-obesiti dan pembedahan bariatrik boleh dipertimbangkan untuk membantu pasangan dalam mencapai penurunan berat badan dan meningkatkan hasil kesuburan mereka.

 

Walau bagaimanapun, langkah itu perlu mendapatkan perundingan daripada doktor terlebih dahulu untuk membantu mencapai berat badan yang sihat sebelum hamil.

 

Pasangan TTC di Malaysia memperuntukkan sejumlah besar pelaburan untuk rawatan kesuburan termasuk IVF. Sesetengah pasangan mungkin memerlukan lebih daripada satu kitaran rawatan untuk meningkatkan peluang mereka untuk hamil.

 

Oleh itu, komitmen mereka adalah penting untuk usaha tersebut sebagaimana kegigihan doktor yang membantu dalam perjalanan perancangan keluarga mereka.

 

Walaupun sesetengah wanita yang mempunyai berat badan berlebihan boleh hamil secara semula jadi, namun keadaan obesiti berisiko meningkatkan komplikasi lain seperti diabetes semasa hamil, tekanan darah tinggi, pra-eklampsia atau bekuan darah.

 

 

parafrasa
Obesiti dalam kalangan lelaki menyebabkan sperma yang dihasilkan kurang berkualiti dan tidak aktif

 

 

Dalam kes yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan keguguran kandungan atau kelahiran mati.

 

Kesemua komplikasi kesihatan ini boleh menjejaskan kesihatan ibu keseluruhannya untuk mereka hamil dan melahirkan anak secara semula jadi pada masa hadapan.

 

Jika obesiti tidak diuruskan dengan baik, anak yang dilahirkan daripada pasangan ibu bapa yang obesiti berisiko mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk penyakit jantung apabila mereka dewasa kelak. - DagangNews.com

 

Dr. Sharifah Najwa Syed Amin Husaini adalah Perunding Obstetrik & Ginekologi (O&G) di Kensington Green Specialist Centre (KGSC), Johor