anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Menyedari akan kepentingan memerangi pemerdangan manusia, Yayasan AirAsia buat julung kalinya bakal menganjurkan webinar sebagai usaha berterusan membanteras aktiviti haram berkenaan.
Webinar yang bertajuk ‘Peranan Kakitangan Syarikat Penerbangan sebagai Responden Pertama dalam Membanteras Pemerdagangan Manusia’ itu bakal berlangsung pada 27 Ogos 2020 jam 5.00 petang melalui platform Zoom.
Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, webinar tersebut akan membincangkan usaha di peringkat global termasuklah syarikat penerbangan dan berkongsi beberapa pengalaman sebenar daripada kakitangan syarikat penerbangan yang telah berhadapan dengan situasi pemerdagangan manusia.
“Dihoskan oleh Yayasan AirAsia, dengan tetamu khas daripada AirAsia Berhad, International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan Airline Ambassadors International, webinar ini juga akan mengupas pengalaman kakitangan barisan hadapan dalam membanteras pemerdagangan manusia dan bagaimana orang ramai boleh turut serta.
“Untuk mendaftar, layari https://airasia.zoom.us/join dan log masuk 946 0848 0713,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sempena sambutan Hari Anti Pemerdagangan Manusia Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Julai lalu, Yayasan AirAsia turut melancarkan Latihan Anti Pemerdagangan Manusia yang dikenali sebagai #KnowtheSigns untuk semua kakitangan AirAsia (Allstars).
Walaupun kelas latihan amat berkesan, namun pandemik COVID-19 telah menyebabkan beberapa kekangan seperti saiz kumpulan yang dibenarkan dalam satu-satu masa.
Oleh itu, pihaknya mengambil pendekatan kreatif dengan menawarkan modul pembelajaran dalam talian.
Mun Ching berkata, dengan peralihan sepenuhnya kepada modul pembelajaran dalam talian, mereka bukan hanya dapat melatih kru kabin, tetapi juga juruterbang, kakitangan khidmat pelanggan dan keselamatan di setiap hab AirAsia.
“Berikutan penjarakan fizikal yang harus dipatuhi dalam situasi COVID-19, semua sesi kelas latihan terpaksa dihentikan sepenuhnya. Justeru, peralihan kepada modul pembelajaran dalam talian membolehkan kami meneruskan latihan ini kerana Allstars boleh belajar dengan selamat dan selesa di rumah mereka.
“Bagi kelas latihan, kami melibatkan pakar global untuk mengembangkan kandungan teras bersama-sama pasukan Yayasan AirAsia. Bagi modul pembelajaran dalam talian pula, kami menggunakan kandungan yang sama. Jadi, secara teknikal, kami mempunyai 'pelatih' yang sama.
“Pada akhir tahun 2020, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 30% barisan hadapan syarikat mengambil bahagian dalam modul pembelajaran dalam talian ini. Kami telah menyusun rancangan untuk mencapai sasaran ini,” tambah Mun Ching.
Sejak tahun 2017 Yayasan AirAsia telah menganjurkan kelas latihan untuk kru kabin AirAsia supaya mereka dapat mengenali, melaporkan dan merekod kes pemerdagangan manusia jika ia berlaku di dalam penerbangan syarikat.
Sejak ia dilancarkan, seramai 1,580 Allstars telah menamatkan kursus berkenaan dalam tempoh hanya dua tahun setengah.
Bagi modul pembelajaran dalam talian pula, kurang sebulan selepas pelancaran, lebih daripada 4,000 Allstars telah mendaftar untuk mengambil bahagian. - DagangNews.com