Yinson bekerjasama dengan RRJ Capital bangunkan infrastruktur tenaga, teknologi selain penyediaan pembiayaan AS$300 juta | DagangNews Skip to main content

Yinson bekerjasama dengan RRJ Capital bangunkan infrastruktur tenaga, teknologi selain penyediaan pembiayaan AS$300 juta

Anthony Loke diberi taklimat mengenai e-bike oleh rydeEV di bawah Yinson GreenTech.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Yinson Holdings Berhad memeterai perjanjian kerjasama dengan firma pelaburan global RRJ Capital bagi membangunkan infrastruktur tenaga dan projek teknologi di peringkat global, termasuk peruntukan pembiayaan sebanyak AS$300 juta. 

 

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh Farosson, badan penasihat, pelaburan dan pengurusan aset kumpulan.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan RRJ Capital dalam pelbagai projek infrastruktur tenaga dipacu teknologi yang akan membantu memacu pembangunan ekonomi, meningkatkan kehidupan dan mempercepatkan peralihan rantau ini kepada persekitaran rendah karbon. 

 

"Kepelbagaian perniagaan Yinson merentasi pengeluaran luar pesisir, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, disokong oleh dasar sokongan oleh kerajaan Malaysia, memberikan peluang besar kepada RRJ dan Yinson untuk mencipta nilai pemegang kepentingan bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis perjanjian itu turut disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

 

Pada majlis itu, Yinson GreenTech menampilkan rumusan ekosistem yang bersih, bersepadu dan dipertingkatkan teknologi merentas segmen marin, mobiliti dan infrastruktur merangkumi pameran basikal elektrik YGT dengan bateri boleh tukar, rydeEV, penyelesaian pajakan kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan pemanduan dan EV, chargEV.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif RRJ Capital, Richard Ong berkata, pihaknya teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Yinosn dan Farosson kerana perkongsian jangka panjang itu mewakili pencapaian pihaknya dalam membentuk masa depan tenaga di seluruh dunia.

 

"Dengan memanfaatkan rangkaian global kami yang luas dan rakan kongsi yang dihargai, kami berusaha untuk menyokong Yinson secara aktif dalam aspirasinya untuk memajukan penyelesaian yang inovatif dan memacu penciptaan hari esok yang mampan," katanya. - DagangNews.com