KUALA LUMPUR 3 Julai – Zainariah Johari diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) yang baharu berkuat kuasa kelmarin menggantikan Junady Nawawi yang menamatkan tempoh perkhidmatannya.
Berpengalaman lebih tiga dekad, Zainariah merupakan seorang yang disegani dalam industri kreatif. Pernah menjadi Ketua Unit Seni, Warisan dan Ruang Awam selama lebih tujuh tahun di Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad, beliau terlibat secara aktif dalam menjayakan inisiatif seperti Geran Khas Hasanah, “Arts for all Seasons” (ArtsFAS).
Usaha ini telah memberi impak kepada lebih 5,000 seniman dan organisasi seni di seluruh negara serta membuka ribuan peluang pekerjaan.
Zainariah memulakan inisiatif “Cultural Frontliners” yang membawa pemuzik jalanan dan ahli muzik membuat persembahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MITEC yang membantu meringankan beban kelangsungan hidup mengharungi zaman pandemik. Inisiatif ini kemudiannya dicontohi oleh PPV lain.
Beliau juga merupakan usahawan kandungan kreatif dan Ketua Pegawai Eksekutif di Asia Pacific Videolab serta menerima pengiktirafan pencalonan Anugerah Emmy melalui karyanya, “The Challenger.”
Pengerusi Kumpulan MyCreative, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Zainariah ke MyCreative.
Katanya, penglibatan dan portfolio yang komprehensif serta menyeluruh merangkumi sektor swasta dan kerajaan, beliau mempunyai pandangan holistik dalam menyokong dan membangunkan pemain Ekonomi Jingga negara.
"Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Junady atas kepimpinannya yang cemerlang. Beliau telah berjaya memimpin MyCreative mengharungi zaman pandemik dan membuahkan hasil yang positif,” kata beliau. - DagangNews.com