KUALA LUMPUR 2 Ogos - Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob secara rasmi menyerahkan kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia kepada Naib Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, yang merupakan Pemangku Panglima Tentera Laut yang baharu.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan berkata majlis penyerahan tugas itu diadakan di auditorium Wisma Pertahanan pada Khamis (1 Ogos), disempurnakan Panglima Angkatan Pertahanan Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, dan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddean Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad, bersama pegawai kanan Tentera Laut turut hadir.
Abdul Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada 27 Januari tahun lepas dan akan bersara pada 2 Disember ini.
Beliau adalah komander kapal selam pertama yang dilantik sebagai Panglima Tentera Laut. - DagangNews.com