Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 24 December 2021

Banjir, ujian dan kesukarelawanan

 

 

Hujan lebat berterusan di pelbagai kawasan Semenanjung pada 17 dan 18 Disember 2021 lalu telah mengakibatkan banjir yang luar biasa, termasuk di kawasan-kawasan luar jangkaan. Situasi ini diburukkan lagi oleh fenomena air pasang di beberapa kawasan seperti di Selangor.

 

Bencana banjir di Lembah Klang merupakan antara yang paling ketara dan terkesan memandangkan Lembah Klang lazimnya tidak menerima masalah banjir akibat monsun seperti kawasan Pantai Timur.

 

Suasana banjir yang berlaku ini mendatangkan sebuah kecemasan kemanusiaan yang besar dan perlu dipikul melalui kerjasama daripada pelbagai pihak kerajaan, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

 

irsyad

 

irsyad

 

irsyad

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar” (Surah al-Baqarah: 155).

 

Terdapat pelbagai jenis ujian yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya antaranya ujian dengan peperangan yang mengakibatkan ketakutan, kematian dan kehancuran. Ujian dalam bentuk kehilangan ahli keluarga dan seumpamanya.

 

Malah ada ujian yang berbentuk kemewahan dan kedudukan yang tinggi. Kesemua ujian tersebut berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT dan mengandungi pelbagai hikmah yang tidak terjangkau akal manusia.

 

Persepsi dan tanggapan ujian adalah bala sebagai hukuman semata-mata perlu diperbetulkan dalam pemikiran dan kefahaman segelintir masyarakat.

 

irsyad

 

Masyarakat perlu melihat ujian yang berlaku dalam bentuk yang lebih luas dan positif.

 

Pertama, memperbetulkan persepsi bahawa sesuatu ujian itu berlaku kerana musibah dan bala yang melanda juga adalah tanda menghampiri kiamat. Sebaiknya tanyalah diri apakah persediaan untuk menghadapi hari kiamat. Elakkan menghakimi orang lain atas ujian yang sedang dihadapi, sebaliknya hulurkan bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana.

 

Kedua, melihat dan memahami setiap bala, bencana dan musibah yang melanda itu adalah sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Penghayatan ini hanya akan dapat dilakukan dengan pembacaan dan memahami makna ayat yang terkandung dalam al-Quran.

 

Ketiga, ujian yang berlaku adalah kerana Allah SWT hendak meninggikan darjat hamba-hambaNya yang diuji. Rasul dan Nabi adalah antara yang paling berat diuji. Mafhum hadis Nabi SAW menyatakan seberat-berat ujian adalah kepada Nabi dan setiap ujian itu berdasarkan kepada tahap keimanan seseorang.

 

Keempat, ujian yang dihadapi sebagai penghapus dosa manusia. Dalam mengharungi kehidupan ini adakalanya manusia berbuat sesuatu kesalahan dan dosa, samada yang tidak disedari mahupun yang disengajakan dan kadangkala terlupa atau tidak memohon ampun kepada Allah SWT.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya" (Hadis riwayat Bukhari).

 

Kelima, bencana dan musibah itu didatangkan kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Bukalah hati dan fikiran untuk melihat bencana itu dari sudut positif. Sesungguhnya janji Allah pasti benar. Percayalah selagi bersangka baik dengan ujianNya dan sifat Maha Pengasih Allah SWT, semua usaha untuk bangkit kembali akan dipermudahkan.

 

Demikianlah persepsi positif yang perlu difahami dan ditanggapi oleh masyarakat yang terkesan dengan pelbagai ujian termasuk musibah banjir yang sedang melanda.

 

Sebaliknya, perlu banyak bersyukur atas setiap ujian kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap hambaNya dan pasti akan memberikan hanya yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaanNya di dunia dan akhirat.

 

irsyad

 

irsyad

 

irsyad

 

irsyad

 

Perumpamaan menyatakan berat mata melihat, berat lagi bahu memikul. Musibah banjir yang telah melanda beberapa negeri seperti di Selangor, Pahang dan beberapa tempat lagi diuji oleh Allah SWT dapat menyaksikan betapa sukar, perit dan jerihnya kehidupan mangsa-mangsa banjir.

 

Justeru, semangat kesukarelawanan dari seluruh masyarakat di Malaysia perlu dizahirkan dalam situasi ini bagi membantu dan menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

Portfolio Tags