Cabaran semasa UiTM | DagangNews Skip to main content

Cabaran semasa UiTM

Oleh DIYANA ISAMUDIN 

Video pelajar menumbuk bawang ketika kelas secara dalam talian (online) sedang berlangsung telah mencuit hati penonton.

 

Ramai memahami pelajar juga berusaha menyeimbangkan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar. UiTM perlu menyeimbangkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan akademik pelajar dengan normal baharu.

 

Di dalam tempoh pemulihan negara, UiTM bakal menyambut pelajar baharu dan empat kategori lain yang dibenarkan untuk kembali ke kampus. Manakala yang lain pula perlu meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) online sehingga 31 Disember. 

 

Semenjak PdP online dilaksanakan, seorang pelajar UiTM berkongsi kisah dua rakan sekelasnya memilih untuk menghentikan pengajian kerana berasa program yang diikuti adalah sukar. Manakala seorang lagi menunda kerana tidak dapat menyesuaikan diri. Peluang sudah diberi, keputusan untuk berhenti adalah pilihan masing-masing.

 

Universiti ini mempunyai tanggungjawab besar untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkemahiran tinggi. Ini termasuklah mendorong pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam bidang profesional dan mendapatkan sijil kelayakan profesional. Dalam laporan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada tahun 2019, kebanyakan bidang profesional didominasi oleh bukan bumiputera.

 

BACA JUGA : SIAPA PENCETUS PENUBUHAN UITM

 

 

 

Contohnya, bilangan profesional akauntan bumiputera adalah pada kadar 8% iaitu 1,800 orang pada tahun 2018. Program profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di UiTM berperanan untuk melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah dengan sijil kelayakan profesional itu. Semoga lebih ramai lagi lulus program ini walaupun perlu berdepan dengan kekangan sepanjang pandemik ini.

 

Dalam peranannya yang dikhususkan untuk membina kaum bumiputera, UiTM dituduh mendiskriminasi kaum bukan bumiputera. Di kala protes Black Lives Matter berlangsung di Amerika Syarikat, gambar protes pelajar UiTM membantah kemasukan bukan bumiputera disamakan dengan dasar perkauman di negara itu. Ada juga suara-suara yang mendesak agar UiTM dibuka kepada semua warga negara.

 

Semenjak penubuhannya, cadangan untuk dibuka kepada kaum bukan bumiputera telah diusul di parlimen. Cadangan tersebut dilakukan oleh tiga ahli parlimen pada 13 April 1976. Mereka adalah arwah Tan Sri Dr. Tan Chee Khoon, Lim Kit Siang, dan Lim Kiam Hoon yang berpendapat kemasukan kaum bumiputera dapat memupuk perpaduan.

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak usul tersebut. Hujah beliau, tuntutan untuk diperbanyakkan sekolah vernakular sering dilakukan sedangkan sekolah kebangsaan diwujudkan untuk merealisasikan agenda perpaduan nasional.

 

Selain ahli politik, segelintir masyarakat Malaysia bersuara untuk hak sama rata kerana mereka juga membayar cukai.  Ada juga yang mencadangkan untuk dibuka kepada kaum bukan bumiputera dalam golongan B40. Hal ini menjadi isu kerana bukan bumiputera yang miskin tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan dan kuota yang kecil di IPT awam.

 

Tetapi berdasarkan isu-isu tersebut, tidak wajar UiTM dipolemikkan sedangkan ada 19 universiti awam lain di negara ini. Jika hendak berkira soal cukai, bilangan bumiputera adalah hampir 70 peratus daripada jumlah penduduk. Peruntukan kepada UiTM juga telah dipotong hampir RM500 juta bermula tahun 2017. Hairan juga kenapa UiTM yang satu ini juga dijadikan isu. Benarlah kata bekas ahli parlimen Balik Pulau, allahyarham Shamsuri Md Salleh:

 

“Tuan Yang di Pertua, peruntukan yang diberi kepada Institut Teknologi MARA oleh Kerajaan itu kalau dinilai dengan emas, maka emas itu hanya sesaga, kalau dinilai dengan tanah, maka tanah itu tidak lebih hanya sebesar kelangkang kera.  Emas sesaga, tanah yang sebesar kelangkang kera itulah yang diungkit-ungkit, disebut-sebut, ditagih oleh pihak Pembangkang untuk dikongsi dengan orang-orang bukan bumiputera, atas alasan hendak mewujudkan perpaduan negara, hendak membasmi kemiskinan, dengan tidak kira kaum.”

 

Perlu diingatkan bahawa atas dasar toleransi, Malaysia pada hari ini terdiri daripada masyarakat majmuk. Istilah diskriminasi kaum hanyalah mainan mereka yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu untuk memecah belah keharmonian negara. Penulis rungkai sebab-sebab UiTM wajar dikekalkan untuk orang Melayu dan kaum bumiputera.

 

  1. Sejarah penubuhan

UiTM ditubuhkan sebagai Dewan Latehan RIDA pada 1956 untuk meningkat sosioekonomi masyarakat bumiputera di luar bandar. Sebagai aset pembinaan anak bangsa, sejarahnya dilihat sebagai bernilai dan perlu dipelihara.

 

  1. Perkara 153

Perkara 153 menjunjung wasiat ketujuh Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu bertanggungjawab dan diamanahkan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Rangkaan dasar negara diperuntukkan menurut undang-undang menitikberatkan kedudukan istimewa ini. Perlembagaan ini juga telah dipersetujui bersama wakil-wakil kaum bukan bumiputera.

 

  1. Belum mencapai sasaran

UiTM berhasrat untuk melahirkan graduan yang pakar dalam bidang profesional, penyelidikan serta khidmat masyarakat. Walau bagaimanapun, misi dan visi UiTM belum mencapai sasaran yang memuaskan. Universiti ini juga berhadapan dengan pelajar yang menghentikan pengajian disebabkan tidak dapat membawa program yang diikuti.

 

  1. Jurang sosioekonomi

Jurang sosioekonomi antara kumpulan etnik di negara ini masih ketara. Jurang pendapatan penengah meningkat semenjak tahun 1989. Pada tahun 2016, jurang antara bumiputera dan Cina meningkat hampir empat kali ganda. Manakala antara bumiputera dan India meningkat hampir tiga kali ganda.

 

  1. Golongan miskin tegar dan tercicir

Golongan miskin dan tercicir dibantu oleh UiTM. Program Mengubah Destini Anak Bangsa, kini dikenali sebagai Program Pra Pendidikan Tinggi (PPPT) adalah inisiatif kerajaan untuk membantu pelajar miskin lepasan SPM yang gagal mendapat tempat kerana merit tidak cukup atau tidak membayar kos pengajian. Mereka diberi peluang untuk belajar di peringkat Pra-Diploma di UITM. - DagangNews.com

 

 

TERKINI: Dr Roziah Mohd Janor dilantik sebagai Naib Canselor UiTM baharu

 

Sumber:

  1. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. (2019, 8 November) Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Daripada https://www.epu.gov.my/sites/default/files/WKB2030_BM_FA_DigitalCopy_V4.pdf 
  2. Jumlah akauntan bumiputera dijangka meningkat hingga 30 peratus menjelang 2030 (Astro Awani, 30 Januari 2018) Daripada http://www.astroawani.com/berita-bisnes/jumlah-akauntan-bumiputera-dijangka-meningkat-hingga-30-peratus-menjelang-2030-166924
  3. "UiTM bukan sebarang universiti" - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (Astro Awani, 8 November 2016. Daripada http://www.astroawani.com/berita-malaysia/uitm-bukan-sebarang-universiti-sultan-nazrin-muizzuddin-shah-121895